LEVERKUSEN, 12 MAC- Penyerang Bayern Munich Harry Kane menggesa pasukannya supaya tidak leka dengan kemenangan agregat 5-0 ke atas Bayer Leverkusen dalam Liga Juara-Juara dan menegaskan pasukannya supaya ‘terus belajar’.
Kane menjaringkan satu gol dan membantu Alphonso Davies untuk gol lain ketika Bayern menang 2-0 pada perlawanan kedua di Leverkusen kelmarin untuk mara ke suku akhir dengan penuh yakin.
“Saya rasa kami menunjukkan sifat sebenar pasukan kami. Kami mahu berkembang dalam pertandingan. Kami mempunyai beberapa keputusan dalam kejuaraan ini yang tidak begitu hebat dan saya rasa kami telah belajar daripada itu,” kata Kane kepada Amazon Prime.
“Saya rasa kami perlu terus belajar sambil melangkah lebih jauh tetapi, awda tahu, kami kini berada di suku akhir di mana Bayern Munich sepatutnya berada dan kami mahu terus berusaha.”
Bayern akan menentang juara Eropah tiga kali, Inter Milan dalam pusingan lapan terakhir selepas Kane menjadi pemain Inggeris pertama yang menjaringkan 10 gol dalam satu musim dalam sejarah Piala Eropah atau Liga Juara-Juara.
“San Siro adalah tempat yang sukar untuk dilawati tetapi mana-mana pasukan yang kami hadapi, kami boleh memberi mereka masalah,” katanya.
“Kami akan membuat persediaan dengan baik. Dan cuba dan cari kawasan yang kami boleh mengasak mereka. Ia adalah peluang untuk mara ke separuh akhir dalam Liga Juara-Juara dan kami bersedia.” – AFP
