LONDON, 28 Feb – Pengendali Tottenham Hotspur Mauricio Pochettino menolak dakwaan bekas pengendali Spurs Andre Villas-Boas bahawa pemain penyerang prolifik Harry Kane perlu meninggalkan kelab itu jika dia mahu menjuarai trofi.
Ketika di bawah kendalian Villas-Boas, Kane membuat kemunculan pertama Liga Perdana dalam tahun 2012 namun karier penyerang England itu hanya bermula sebaik saja pengendali Portugal itu meninggalkan kelab pada Disember 2013.
Kane kini telah mencatatkan lebih 30 gol dalam tempoh empat musim yang lalu, namun kegagalan Tottenham untuk memenangi trofi pada ketika itu telah menyaksikan penyerang England itu terus menerus dikaitkan dengan juara Eropah Real Madrid.
“Jika dia benar-benar dahagakan trofi dan kemasyhuran dia perlu meninggalkan Spurs, jika dia tidak dahagakan itu, tetapi inginkan perakuan dan kestabilan, dia akan kekal di Spurs,” kata Villas-Boas minggu ini.
Bagaimanapun, sebelum perlawanan semula pusingan kelima FA Cup bagi Spurs di tempat sendiri menentang Rochdale hari ini, Pochettino menegaskan Kane boleh memenuhi cita-citanya dengan kekal di kelab itu yang disertainya sejak dia muda lagi. “Kami di sini untuk berkembang dan membantu kelab mencapai dan menjuarai gelaran,” kata pengendali dari Argentina itu.
“Kane gembira di sini dan sudah tentu dia mahu memenangi gelaran seperti kami semua juga, tetapi saya turut menghormati pandangan semua.”
Kane telah menjaringkan gol ke-35 musim ini, dua minit sebelum permainan tamat dengan menumpaskan Crystal Palace 1-0 Ahad lalu. Namun kemenangan Spurs itu dibayangi oleh lebih banyak tuduhan terhadap Dele Alli yang sengaja menjatuhkan diri dan berhasil mendapatkan penalti yang membawa kepada kemenangan di Selhurst Park. – AFP