TIRANA, 17 NOV – Harry Kane mengesahkan rekod cemerlang England dalam kempen kelayakan Piala Dunia mereka dengan dua gol lewat dalam kemenangan 2-0 ke atas Albania, kelmarin.
Kane meledak dua gol pada peringkat akhir perlawanan ketika Thomas Tuchel mencipta sejarah di Tirana.
Selepas kemenangan kelapan berturut-turut dalam Kumpulan K, England merupakan pasukan Eropah pertama yang mengharungi sekurang-kurangnya nam perlawanan kempen kelayakan Piala Dunia dengan rekod 100 peratus tanpa bolos.
Mereka merupakan pasukan Eropah pertama yang memenangi semua perlawanan kelayakan Piala Dunia mereka sejak Jerman pada 2018.
England tidak pernah tewas dalam perlawanan kelayakan Piala Dunia dalam 39 perlawanan sejak 2009 apabila mereka tewas 1-0 di Ukraine.

Mereka menjaringkan 22 gol dan tidak bolos sebarang gol dalam laluan sempurna ke kejohanan tahun depan di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.
Sepanyol, seperti England, belum pernah dibolosi sebarang gol dan Norway juga telah memenangi semua perlawanan kelayakan mereka. Kedua-duanya mempunyai baki satu perlawanan.
Rentetan 10 kemenangan kompetitif berturut-turut England tanpa bolos gol menyamai rekod Eropah Sepanyol.
The Three Lions juga menamatkan tahun 2025 dengan peratusan kemenangan tertinggi mereka dalam tahun kalendar sejak 1946 , sembilan kemenangan daripada 10 perlawanan di bawah Tuchel yang hanya menampilkan satu kekalahan persahabatan kepada Senegal pada Jun lalu.
“Perlawanan yang baik. Saya sukakannya. Hari ini sukar, penuh emosi. Kami mengawal sepenuhnya, kemudian tiba-tiba hilang kawalan dan terpaksa mengatasi saat-saat sukar,” kata Tuchel.
“Saya rasa kami telah berusaha tetapi juga sukar untuk memecahkan benteng pasukan lawan. Ia memerlukan satu momen kecil, satu momen ajaib untuk membuka perlawanan,” tambahnya. – AFP

