MUNICH, 19 OKT – Harry Kane meneruskan rentak berbisa apabila menjaringkan gol buat kali ketujuh berturut-turut ketika Bayern Munich menewaskan Borussia Dortmund 2-1 di laman sendiri kelmarin, sekali gus mengekalkan rekod sempurna musim ini dengan kemenangan ke-11 daripada 11 perlawanan dalam semua pertandingan. Kemenangan itu memastikan Bayern kekal lima mata di tangga teratas dalam carta Bundesliga, selepas mengutip 21 mata daripada tujuh aksi pertama musim ini.
“Ia satu perlawanan besar. Dortmund belum tewas untuk beberapa ketika, begitu juga kami,” kata Kane, yang meledak gol ke-104 bersama juara bertahan itu, kepada wartawan.
Kekalahan itu meletakkan Dortmund di tempat keempat, tujuh mata di belakang Bayern.
Jurulatih Bayern, Vincent Kompany menurunkan Kane di kedudukan nombor 10 di belakang pemain pinjaman dari Chelsea, Nicolas Jackson, yang membuat penampilan ketiganya bersama kelab baharu itu.
Kane tidak mengambil masa lama untuk menyerlah apabila menghantar beberapa umpanan berbahaya kepada pemain sayap Luis Diaz dan Michael Olise, yang masing-masing hampir menjaringkan gol dalam 10 minit pertama.
Kane kemudian meletak Bayern di depan pada minit ke-21 hasil tandukan susulan sepakan sudut sekali gus menjadikannya gol ke-400 di peringkat kelab sepanjang kariernya. – AFP


