DORTMUND, 5 NOV – Harry Kane mencipta sejarah dengan jaringan hatrik yang cemerlang ketika Bayern Munich membelasah Borussia Dortmund dengan keputusan 4-0 di tempat lawan semalam, sekali gus merapatkan jurang dengan pendahulu Bayer Leverkusen kepada dua mata.
Kapten Bayern, Manuel Neuer, dengan penuh kagum memuji penyerang utama mereka dan berkata kepada TV Jerman, “Itulah pengalamannya, yang dia bawa bersama daripada England ke Bundesliga dan dia terus menunjukkan prestasi cemerlangnya kepada kami pada tiap-tiap minggu.”
“Kami mempunyai beberapa pemain pantas di barisan hadapan dan dengan bantuan mereka, kami benar-benar memberikan kesan yang mendalam kepada Dortmund,” tambahnya.
Selepas kekecewaan pertengahan minggu dengan kekalahan dalam Piala Jerman kepada pasukan daripada divisyen ketiga, Saarbruecken, Bayer Leverkusen meraih kemenangan 3-2 di Hoffenheim kelmarin, bermakna Bayern, yang menghadapi masalah kecederaan, ketinggalan lima mata di belakang pasukan Xabi Alonso ketika perlawanan bermula.
Bagaimanapun, Bayern memberikan tindak balas yang sempurna dengan menjaringkan dua gol dalam tempoh sembilan minit awal perlawanan untuk menguasai perlawanan.
Pemain pertahanan tengah dari Perancis, Dayot Upamecano, yang baru mendapat kelulusan untuk bermain beberapa jam sebelum perlawanan selepas tidak beraksi sebulan disebabkan kecederaan hamstring, membawa Bayern mendahului empat minit selepas perlawanan bermula dengan tandukan daripada hantaran Leroy Sane.
Bekas pemain sayap Man City itu juga memberikan hantaran sempurna di dalam kotak penalti untuk Kane menjaringkan gol kedua Bayern.
Jurulatih Bayern, Thomas Tuchel, memberikan komen selepas perlawanan, “Kami mempunyai keyakinan kerana kami mempunyai kualiti walaupun mengalami kekalahan dalam Piala Jerman.
“Kami tahu apa yang kami boleh lakukan, dan kami mempunyai keyakinan yang mencukupi untuk melaksanakan rancangan,” jelasnya. – AFP