LONDON, 29 Mac – Harry Kane kelmarin meluahkan rasa bangga mengenai bagaimana rakan sepasukannya menangani insiden perkauman di Montenegro tatkala dia menerima anugerah ‘services to football’ selepas menerajui England ke separuh akhir Piala Dunia.
Sorakan perkauman disasarkan kepada beberapa pemain England berkulit hitam, termasuk Danny Rose, semasa aksi kelayakan Euro 2020 di Podgorica.
Ketua pasukan England, Kane yang turut menjaringkan gol pada perlawanan tersebut percaya kemenangan itu adalah cara terbaik untuk membuktikan kepada orang ramai.
“Ia sangat bagus bagaimana rakan-rakan menangani isu itu,” kata Kane, bercakap semasa menerima anugerah Member of the Order of the British Empire daripada presiden Persatuan Bola Sepak, Putera William di Istana Buckingham.
“Ia sangat penting apabila pihak berkuasa perlu mengambil tindakan kerana ia tidak boleh diterima di mana-mana negara atau apa sahaja sukan atau pekerjaan. Saya berbangga dengan cara rakan-rakan menghadapinya.
“Apabila perkara ini berlaku, ia bukan sahaja mengenai bola sepak tetapi rakan sepasukan fokus dengan tugas mereka, tidak membiarkannya untuk memberi kesan kepada mereka dan ia jelas bahawa cara yang terbaik untuk membuktikan kepada mereka ada meraih kemenangan dan menjaringkan gol.”
Badan bola sepak Eropah, UEFA telah mendakwa Montenegro dengan kelakuan berbaur perkauman dan FA Montenegro berkata ia akan menggantung mana-mana penyokong yang terlibat dengan isu perkauman yang ditujukan kepada pemain England yang berkulit hitam.
Kane menghabiskan kempen Piala Dunia tahun lalu sebagai penjaring terbanyak yang menyaksikan England mara ke peringkat empat teratas.
Sekarang Kane menumpukan saingan domestik dan selepas Spurs menentang Liverpool Ahad ini, Spurs akan beraksi buat kali pertama di stadium baharu menentang Crystal Palace pada Rabu nanti. – AFP