Ahad, 23 November 2025
27.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kane selamatkan Bayern

    MUNICH, 28 OGOS – Harry Kane menjaringkan gol kemenangan pada saat akhir untuk menyelamatkan maruah Bayern Munich dalam kemenangan dramatik 3-2 ke atas Wehen Wiesbaden yang berada di liga ketiga pada pusingan pertama Piala Jerman, semalam.

    Bayern mendahului dua gol dan nampak selesa sejurus selepas separuh masa kedua, disebabkan penalti Kane, sepakan penalti ke-31 berturut-turutnya untuk kelab dan negara, serta gol Michael Olise.

    Namun, kapten Wiesbaden, Fatih Kaya menjaringkan dua gol dalam tempoh lima minit kemudian untuk membawa pasukannya kembali ke dalam perlawanan.

    Kane dijatuhkan di dalam kotak penalti tetapi sepakan penalti pada minit ke-76nya berjaya diselamatkan, penalti pertama yang gagal sejak melepasi palang dalam aksi England menentang Perancis dalam suku akhir Piala Dunia 2022.

    Dia menebus kesilapan itu, menanduk masuk hantaran Josip Stanisic pada minit keempat dan terakhir masa kecederaan untuk membantu Bayern mengelakkan kejutan memalukan.

    Harry Kane meraikan jaringan gol semasa perlawanan pusingan pertama Piala Jerman antara SV Wehen Wiesbaden dan FC Bayern Munich di Wiesbaden, barat Jerman, pada 27 Ogos. – AFP

    Bayern belum mara melepasi suku akhir Piala Jerman sejak memenangi kejuaraan ke-20 yang menjadi rekod pada musim 2019-20.

    Bayern mendahului pada minit ke-16, Kane menukarkannya kepada sepakan pe-nalti selepas Sacha Boey dilanggar.

    Juara Bundesliga itu tidak menambah gol kedua sehingga minit ke-51, apabila Olise yang cemerlang mengambil peluang daripada kesilapan pertahanan untuk menolak bola ke sudut bawah. Bayern kelihatan bakal menang dengan mudah sehingga pemain baharu musim panas Wiesbaden, Niklas May, menghantar hantaran silang cemerlang untuk Kaya menjaringkan gol pada minit ke-64 dengan sepakan voli.

    Gol itu membangkitkan semangat tuan rumah, yang menyamakan kedudukan apabila bola panjang ke depan dilepaskan oleh Moritz Flotho, membolehkan Kaya merembat gol sekali lagi.

    Kane tampil untuk satu lagi penalti namun diselamatkan oleh penjaga gol tuan rumah, Florian Stritzel, yang turut cemerlang menafikan percubaan susulan kapten England itu sebelum bola ditangkis.

    Namun, Kane menamatkan episod dengan kegembiraan, melompat tinggi untuk menanduk masuk dan meremukkan hati Wiesbaden.

    Undian pusingan kedua akan diadakan pada Ahad. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda