Thursday, February 6, 2025
22.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kane tamatkan kemarau gol benam Albania

    TIRANA, 29 MAC – Gareth Southgate mengakui England masih mempunyai ruang untuk mempertingkatkan prestasi mereka walaupun Harry Kane berjaya menamatkan kemarau gol enam perlawanan untuk membantu pasukannya membenam Albania 2-0 di kelayakan Piala Dunia.

    Bagaimanapun, pasukan bimbingan Southgate bergelut untuk memecah kebuntuan ketika berdepan lawan yang mempamerkan aksi yang bagus sehinggalah penyerang Tottenham itu meledakkan gol pada lewat separuh masa pertama di Tirana.

    Ia adalah jaringan antarabangsa pertama buat ketua pasukan England itu sejak menjaringkan gol menentang Kosovo 500 hari yang lalu pada November 2019. Kembali diletakkan dalam kesebelasan utama selepas direhatkan ketika membelasah San Marino 5-0 Khamis lalu, Kane telah menjaringkan 33 gol dengan 52 penampilan bersama England.

    Kane juga memberikan assist kepada jaringan Mason Mount pada separuh masa kedua ketika England mencatat dua kemenangan dalam saingan Kumpulan I untuk mencari slot ke Piala Dunia 2022 Qatar.

    Selepas menamatkan Piala Dunia 2018 sebagai penjaring terbanyak ketika membantu England mara sehingga ke separuh akhir, Kane berharap dapat membantu pasukannya meraih kejayaan di Euro 2020.

    “Saya tidak begitu suka cara kami beraksi pada 15 minit terakhir, meluru pantas ke depan sedangkan kami tidak perlu berbuat demikian. Saya gembira kami menang tapi masih ada beberapa bahagian perlu dipertingkatkan,” jelas Southgate.

    “Kami harus terus mara dalam kumpulan ini. Ramai memperkatakan mengenai kami dan apa yang kami mampu lakukan namun jika kami mahu meraih kejayaan kami harus berada pada tahap tertinggi.

    “Saya rasa kami mampu beraksi lebih baik. Mereka boleh menikmati kemenangan tapi saya rasa masih ada ruang untuk memperbaiki aksi,” katanya. – AFP

    Reaksi penyerang England, Harry Kane semasa meraikan jaringan golnya dalam perlawanan Kumpulan I kelayakan Piala Dunia FIFA Qatar 2022 menentang Albania di Arena Kombetare, Tirana, semalam. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda