Tersenarai sebagai 25 selebriti paling berpengaruh oleh Forbes Korea, pelakon Kang Ha Neul turut dilaporkan memiliki kekayaan dianggarkan sekitar AS$5 juta.
Menurut laporan mStar, pelakon berusia 35 tahun itu bagaimanapun tidak pernah mempunyai kad kredit dan hanya menggunakan wang tunai atau kad debit jika mahu berbelanja.
Ha Neul berkata, dia tidak selesa bergantung kepada kad kredit kerana merasakan dia mempunyai hutang belum diselesaikan.
“Saya hanya guna kad debit dan tidak pernah mempunyai kad kredit.
“Jika tidak digunakan dengan betul mungkin boleh menjerat diri sendiri. Saya sendiri rasa tidak selesa apabila mempunyai hutang,” katanya.
Ha Neul berkongsi perkara itu ketika muncul menerusi program Salon Drip 2 yang disiarkan di saluran YouTube TEO pada Selasa lalu.
Dalam pada itu, Ha Neul memberitahu dia bukan seorang yang boros berbelanja tetapi tidak pula lokek membeli barang disukainya seperti permainan video.
Bagaimanapun Ha Neul kurang berbelanja membeli pakaian kerana merasakan ia satu pembaziran.
“Saya rasa wang yang dibelanjakan untuk pakaian adalah paling membazir sebab saya tak minat dalam fesyen,” katanya. – Agensi
