Dunia hiburan Korea Selatan sekali lagi dikejutkan dengan berita pemergian pelakon, Kang Seo Ha yang meninggal dunia akibat kanser perut kelmarin.
Menurut laporan mStar yang memetik laporan media tempatan Korea Selatan, Kang menghembuskan nafas terakhirnya pada usia 31 tahun selepas sekian lama bertarung dengan penyakit berkenaan.
Mendiang dilaporkan menghidap kanser sejak beberapa tahun lalu namun merahsiakan keadaannya daripada pengetahuan umum dan peminat.
Walaupun dalam keadaan kesihatan tidak baik, dia tetap aktif dalam dunia lakonan sehingga ke akhir hayatnya.
Majlis pengebumian dijadualkan berlangsung pada pagi Selasa, sebelum mendiang dikremasi dan abunya disemadikan di tanah perkuburan keluarga di Haman, Gyeongsangnam-do.
Difahamkan, Seo Ha baru sahaja menamatkan penggambaran filem terbaharunya berjudul In The Net (atau Mangnaein) di mana dia memegang watak utama.
Filem tersebut dijangka ditayangkan selepas pemergiannya sebagai penghargaan terakhir terhadap komitmen dalam bidang seni.
Aktres itu mula mencipta nama dalam industri hiburan Korea Selatan sejak tahun 2012 selepas muncul dalam video muzik kumpulan Brave Girls berjudul Getting Away.
Sejak itu, dia mula membintangi beberapa drama terkenal antaranya Schoolgirl Detectives, Assembly, First Love Again, Through the Waves, Flowers of the Prison dan Heart Surgeons. – Agensi


