Pelakon terkenal, Kangana Ranaut tidak dapat menyembunyikan perasaan geramnya apabila mendapati kemampuannya berbahasa Inggerisnya telah dihina oleh rakan sejawatnya, Sonam Kapoor, lapor tabloidbintang.
Perkara itu dikongsi melalui Instastory milik Kangana, apabila dia memuat naik video temu bual lama Sonam dalam acara popular, Koffee with Karan.
Dalam klip video tersebut, pengacara terkenal, Karan Johar, telah menanyakan soalan pantas kepada Sonam, “Jika awda diberi kuasa untuk memberikan kemahiran kepada selebriti, kepada siapa awda akan memberikannya, kemahiran berbahasa Inggeris yang fasih?”
Tanpa berfikir panjang, Sonam dengan serta-merta menjawab dengan menyebut nama Kangana Ranaut. Kangana kemudiannya memberikan respons terhadap perkara tersebut dengan memuat naik video dan mengakui bahawa hatinya terasa hancur selepas menonton klip tersebut.
Akibatnya, dia tidak dapat menahan diri untuk mencemuh puteri kepada Anil Kapoor itu.
“Apa yang telah saya pelajari daripada pertarungan bertahun-tahun dengan mafia filem adalah bahawa sesiapa pun tidak sepatutnya dicemuh atas ketidakmahiran dalam berbahasa Inggeris,” tulis Kangana dalam bahagian kapsyen.
“Tolong jangan terlepas comeback daripada saya pada hujungnya. Walaupun pada usia 24, selepas secara terbuka diugut, dihina dan dicemuh, saya telah membuktikan keanggunan, kecekapan berbahasa, dan kerendahan hati yang tidak dapat dilakukan oleh sesiapa pun, terutamanya oleh pihak yang sering menyebarkan fitnah yang sering disanjung tinggi sebagai contoh teladan,” tegas pelakon berusia 36 tahun itu.
Selain daripada kontroversi tersebut, Kangana Ranaut kini sibuk dengan projek terbaharunya yang memerlukannya untuk menghidupkan watak bekas Perdana Menteri India, Indira Gandhi, dalam filem bertajuk Emergency.
Menurut laporan India Today, filem itu dijadualkan akan ditayangkan pada 24 November nanti. – Agensi
