SYDNEY, 25 APRIL – Kanggaru prasejarah gergasi mengalami kepupusan apabila perubahan iklim mengubah hutan hujan subur Australia menjadi padang pasir, kata para saintis kelmarin menurut hasil kajian saintifik terbaharu.
Kanggaru Protemnodon yang telah pupus, beratnya mencecah 170 kilogram – hampir dua kali berat kanggaru paling besar hari ini – dipercayai menghuni benua itu kira-kira lima juta tahun lalu.
Pasukan penyelidik berjaya mencipta semula tabiat pemakanan dan pergerakan haiwan itu dengan menganalisis bahan kimia dalam gigi fosil dan membandingkannya dengan komposisi batu-batuan purba yang baru ditemui.
Persamaan dalam kandungan kimia antara fosil dan batuan itu membantu saintis menentukan jarak dan kawasan yang dilalui haiwan itu semasa mencari makanan.
“Bayangkan seperti penjejak GPS purba.Kami menggunakan fosil untuk menjejak haiwan itu, ke mana ia pergi, apa yang dimakan dan bagaimana ia mati – Ia seperti versi purba rancangan realiti Palaeo Big Brother,” kata saintis dari Muzium Queensland, Scott Hocknull.
Kajian mendapati kanggaru gergasi itu tinggal di kawasan hutan hujan yang subur dan tidak menjelajah jauh daripada habitat asal untuk mendapatkan makanan. – AFP
