Sabtu, 22 November 2025
29.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kanser hati dijangka berganda pada 2050

    PARIS, 29 JULAI – Jumlah pesakit kanser hati di seluruh dunia dijangka meningkat hampir dua kali ganda menjelang 2050 jika langkah segera tidak diambil bagi menangani punca yang boleh dicegah seperti obesiti, pengambilan alkohol dan jangkitan hepatitis, menurut satu kajian yang diterbitkan hari ini.
     
    Menurut data daripada Global Cancer Observatory yang diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet, kes baharu kanser hati yang kini merupakan kanser keenam paling umum di dunia – dijangka meningkat daripada 870,000 kepada 1.52 juta kes setahun sekiranya trend semasa berterusan.
     
    Penyakit itu juga kini merupakan kanser ketiga paling membawa maut, dengan kajian meramalkan 1.37 juta kematian akibat kanser hati menjelang pertengahan abad ini.
     
    Namun begitu, pakar menyatakan bahawa tiga daripada lima kes kanser hati sebenarnya boleh dicegah.
     
    Antara faktor risiko utama yang dikenal pasti ialah pengambilan alkohol, jangkitan virus hepatitis B dan C, serta pengumpulan lemak dalam hati akibat obesiti yang dikenali sebagai MASLD, yang sebelum ini dikenali sebagai penyakit hati berlemak bukan alkohol.
     
    Gambar Envato
    Kajian tersebut, yang diterbitkan bersempena Hari Hepatitis Sedunia, menyatakan bahawa virus hepatitis B dan C dijangka kekal sebagai punca utama kanser hati menjelang 2050.
     
    Vaksinasi seawal kelahiran adalah kaedah paling berkesan untuk mencegah hepatitis B, namun liputan vaksinasi masih rendah di negara miskin, termasuk di Afrika Sub-Sahara.
     
    Tanpa peningkatan kadar vaksinasi, hepatitis B dijangka meragut 17 juta nyawa antara 2015 hingga 2030, menurut kajian tersebut.
     
    Pengambilan alkohol dijangka menyumbang lebih 21 peratus kes kanser hati menjelang 2050, meningkat lebih dua peratus daripada statistik pada 2022.
     
    Sementara itu, kes yang berpunca daripada lemak hati berkait obesiti dijangka meningkat kepada 11 peratus, turut menunjukkan lonjakan dua peratus lebih tinggi berbanding sebelumnya. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda