Sunday, December 22, 2024
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kanser kolorektal membimbangkan

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 April – Gabungan kanser usus dan rektum pada masa ini merupakan kanser yang sering berlaku di Negara Brunei Darussalam dan seperti yang dilihat di negara-negara membangun lain, kes kanser kolorektal terus meningkat.

    Faktor-faktor risiko bagi kanser kolorektal ialah peningkatan usia, sejarah keluarga, pemakanan, merokok dan gaya hidup tidak aktif, jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar ketika berucap pada Simposium Gastroenterologi 2019 yang berlangsung di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, hari ini.

    Beliau berkata, malangnya sebahagian besar pesakit yang menghidap kanser kolorektal masih didiagnosis pada peringkat lanjut sehingga usaha untuk menyembuhkannya tidak dapat dilaksanakan tetapi kanser kolorektal merupakan salah satu kanser yang boleh dicegah di mana diagnosis awal menerusi pemeriksaan awal adalah amat penting.

    Seperti yang dimaklumi, jelas Yang Berhormat Dato lagi, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan program pemeriksaan bagi penyakit tidak berjangkit dan dalam masa terdekat, pemeriksaan itu diharapkan meliputi pemeriksaan bagi kanser kolorektal.

    Menerusi usaha itu, tambahnya, diharap dapat membawa kepada penurunan kanser kolorektal di Negara Brunei Darussalam. Bagi mencapai hasrat itu, Yang Berhormat Dato menegaskan bahawa penyertaan dan pengambilan dalam program pemeriksaan berkenaan adalah amat penting, oleh itu, semua profesional penjagaan kesihatan harus memainkan peranan mereka untuk menggalakkan pengambilan program pemeriksaan berkenaan apabila ia dimulakan untuk memastikan kejayaan program itu.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham semasa menyempurnakan perasmian Simposium Gastroenterologi 2019, kelmarin.

    Terdahulu dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa sejak pengenalan program vaksinasi hepatitis B universal pada 1987, kejadian kes baharu jangkitan hepatitis B telah menurun secara signifikan kepada kadarnya pada masa ini iaitu kurang daripada satu peratus berdasarkan kepada kajian dalam kalangan penderma darah.

    Penurunan yang serupa juga dapat disaksikan bagi jangkitan hepatitis C menerusi rawatan dan pengenalpastian kes yang lebih baik, namun begitu, jelas Yang Berhormat Dato, pemantauan bagi hepatitis akut, jangkitan kronik dan sekuel perlu dikukuhkan untuk memahami impak intervensi bagi kejadian dan kelaziman hepatitis viral di Negara Brunei Darussalam.

    Simposium itu bermatlamat untuk memberi maklumat mengenai kemajuan terkini dalam bidang gastroenterologi dan hepatalogi, menepati sasaran Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) iaitu bagi menghapuskan hepatitis menjelang 2030 dan menggariskan pendekatan praktikal, berasaskan bukti dan mendiagnosis serta menguruskan perkara yang berkaitan dengan klinikal umum gastroenterologi dan hepatologi dalam amalan harian.

    Simposium itu disertai oleh doktor-doktor umum dan para jururawat yang ingin mengembangkan ilmu pengetahuan dan mendapatkan maklumat terkini mengenai rawatan dan pengurusan penyakit gastroenterologi dan hepatologi.

    Simposium berkenaan mengetengahkan pembentangan ceramah oleh lapan orang penceramah yang terdiri daripada pakar-pakar dan pegawai perubatan dari Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan Hospital Suri Seri Begawan (SSB) termasuk seorang penceramah undangan daripada WHO, Dr Chan Po Lin.

    Antara tajuk yang dibentangkan ialah Eliminating Hepatitis by 2030-a WHO target, Recent trends in Hepatitis C Management, Recent trends in Hepatitis B management, Liver Function Test-What is new?, Approach top dyspepsia, Towards early diagnosis of Colorectal cancer, Fatty liver-What to do about it? dan Indications for Liver Transplant.

    Dalam simposium itu, satu sesi forum kesihatan umum yang dibukakan penyertaan kepada orang ramai juga diadakan serentak di Dewan Serbaguna, Kementerian Kewangan dan Ekonomi.

    Forum kesihatan umum itu membawa tema ‘Antara Usus dan Hati’ yang mengetengahkan tiga orang ahli panel iaitu Ketua Unit dan Konsultan Unit Gastroenterologi dan Hepatologi, Hospital RIPAS, Dr Hajah Dewi Norwani binti Haji Basir; Konsultan Unit Gastroenterologi dan Hepatologi, Hospital RIPAS, Dr Aza Zetty Feroena binti Jamaludin dan Pegawai Penjaga Zat Makanan, Bahagian Pemakanan Masyarakat, Jabatan Perkhidmatan Kesihatan, Dayang Nur Ainiedza binti Haji Idris.

    Forum itu bertujuan untuk memberikan pengalaman interaktif dan pendidikan mengenai isu-isu yang berkaitan dengan gastroenterologi dan hepatologi daripada aspek kesihatan awam, terutama mengenai pelemakan hati, kanser kolorektal dan pemakanan bagi kesihatan hati serta usus.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda