Saturday, October 5, 2024
26.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kanser, penyakit jantung, pneumonia antara punca kematian di Korea S

    SEOUL, 4 OKT – Kanser, penyakit jantung dan pneumonia merupakan antara punca kematian utama di Korea Selatan tahun lepas, menurut data pejabat statistik hari ini, lapor Xinhua.

    Kanser menyebabkan 166.7 kematian bagi setiap 100,000 penduduk Korea Selatan pada 2023, meningkat daripada 162.7 kematian pada tahun sebelumnya, menurut Statistik Korea. Ia terus menduduki tempat pertama sejak data berkaitan mula dikumpul pada 1983.

    Dalam kalangan kematian berkaitan kanser, kadar kematian akibat kanser paru-paru mencatatkan yang tertinggi dengan 36.5 kematian bagi setiap 100,000 orang, diikuti kanser hati pada 19.8, kanser colorectal pada 18.3, kanser pankreas pada 15, dan kanser gastrik pada 14.1.

    Punca kematian kedua tertinggi ialah penyakit jantung, yang menyebabkan 64.8 kematian bagi setiap 100,000 orang tahun lepas.

    Pneumonia berada di tempat ketiga dengan kadar kematian sebanyak 57.5 bagi setiap 100,000 orang pada 2023, naik sedikit daripada tempat keempat pada 2022.

    Dalam senarai 10 punca kematian utama, penyakit cerebrovascular mencatatkan 47.3 kematian bagi setiap 100,000 orang, diikuti penyakit Alzheimer pada 21.7, diabetes pada 21.6, penyakit hipertensi pada 15.6 dan keracunan darah pada 15.3.

    Bunuh diri berada di tempat kelima dengan kadar kematian 27.3 bagi setiap 100,000 orang pada 2023, meningkat daripada 25.2 kematian pada tahun sebelumnya.

    Bunuh diri merupakan punca kematian utama dalam kalangan individu berusia belasan tahun, 20an dan 30an tahun lepas.

    Jumlah kematian di negara itu adalah sebanyak 352,511 pada 2023, menurun 5.5 peratus berbanding tahun sebelumnya. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda