Tidak pernah terlintas di fikiran pelakon Malasyia, Zara Zya, 39, bahawa pemeriksaan untuk sakit pinggang akan menjadi detik yang menyelamatkan nyawanya.
Tanpa disangka, menurut Zara penyakit sista (cyst) yang dihidapinya rupa-rupanya adalah kanser tahap satu.
Menceritakan kembali detik itu, Zara atau nama sebenar, Zainurul Razia Mohd Zainuddin memberitahu segalanya bermula apabila beliau membuat pemeriksaan pengimejan resonan magnetik (MRI) tahun lalu bagi masalah arthritis yang dialami.
“Saya ada arthritis yang menyebabkan badan sering sakit, susah berdiri atau baring lama, dan tidak boleh angkat berat. Jadi, saya buat MRI untuk masalah itu sahaja.
“Namun, doktor menemui fibroid dan cyst. Tanpa pemeriksaan itu, saya mungkin tidak sedar cyst tersebut sudah berada di tahap satu kanser,” katanya ditemui di sesi fotografi drama terbaharu, Bukan Pilihan Hati di Balai Berita, Bangsar, semalam.
Menyedari perkara itu, Zara segera menjalani tiga pembedahan utama dalam tempoh sebulan, termasuk membuang cyst di ovari, prosedur di bahagian buah pinggang dan leher.
“Alhamdulillah, sudah setahun kanser itu dibuang. Sekarang saya lebih berhati-hati, menjaga pemakanan, gaya hidup dan menjalani fisioterapi.
“Memang saya sedih dan terkejut bila diberitahu tentang kanser, tetapi saya pilih untuk kekal kuat dan positif,” ujarnya.
Berkongsi perjalanan pemulihannya, Zara berkata, beliau berehat hampir lapan bulan sebelum kembali berlakon menerusi drama Dia Imamku yang bersiaran Februari hingga Mei lalu.
“Tahun lalu selepas pembedahan memang saya berehat lama. Saya terima kerana babaknya tidak banyak. Selepas itu saya kembali bekerja secara berperingkat sehingga kini membintangi Bukan Pilihan Hati untuk slot Akasia.
“Syukur juga saya ada pemandu yang membantu. Kalau tiada, mungkin saya menangis kerana tidak mampu memandu untuk ke lokasi penggambaran,” katanya. – Agensi


