BEIJING, 2007 – Hidangan bubur untuk sarapan pagi yang mungkin bercampur dengan racun tikus membunuh seorang pesakit berusia 77 tahun dan menyebabkan kira-kira 200 yang lain jatuh sakit di sebuah hospital di China, lapor media negara.
Wanita tua yang maut itu dimasukkan ke hospital itu di wilayah Heilongjiang kerana menghadapi masalah jantung tetapi meninggal selepas memakan sarapan pagi bercampur toksik, kata agensi berita rasmi Xinhua.
Seramai 202 mangsa yang lain, termasuk pesakit, doktor dan jururawat, dalam keadaan stabil dan hanya mengalami muntah-muntah dan cirit birit selepas memakan bubur di kantin hospital, kata Xinhua dengan memetik pihak berkuasa kesihatan tempatan.
“Para penyiasat mengesyaki bahawa air (digunakan untuk memasak bubur) bercampur dengan racun yang digunakan untuk membunuh tikus,” kata Xinhua.
Tiada maklumat lanjut yang diberikan mengenai bagaimana air bertoksik itu boleh digunakan untuk memasak bubur berkenaan.
Hospital Perubatan Tradisi China, di mana insiden berlaku, adalah di antara institusi perubatan terbesar dan lengkap di Harbin, ibu negeri wilayah berkenaan, menurut laporan itu.
Laporan keracunan makanan kerap berlaku di China, di mana standard kebersihan dan keselamatan masih rendah bagi negara yang mempunyai 1.3 bilion penduduk itu.