Perubahan mood yang melampau dan kemurungan dialami penyanyi rap Kanye West bukan disebabkan masalah gangguan mental bipolar.
Memetik laporan mStar, Kanye mendakwa dia salah didiagnosis dengan masalah berkenaan oleh doktor psikiatri yang merawatnya hampir 10 tahun lalu.
Kanye sebaliknya mendakwa pelbagai masalah dihadapinya sebelum ini adalah gejala Autism Spectrum Disorder (ASD).
Penyanyi rap itu memberitahu dia mula mempersoalkan tentang diagnosis tersebut selepas isterinya, Bianca Censori merasakan ada sesuatu tidak kena dengannya.
Jelas Kanye, 47, Bianca percaya tingkah lakunya sering tidak selaras dengan beberapa faktor yang mengaitkan dengan masalah bipolar.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2025/02/P17-2B-MSTAR_10022025.jpg)
“Disebabkan perkara itu, Bianca membawa saya berjumpa pakar selepas melihat tingkah laku saya bukan seperti seorang yang menghidap bipolar.
“Selepas bertemu dengan doktor pakar, ternyata saya memiliki ciri-ciri seorang penghidap autisme,” katanya.
Dalam pada itu, Kanye berkata diagnosis itu membantu dia memahami dirinya dengan lebih baik.
Pada 2016, Kanye didiagnosis menghidap bipolar selepas dimasukkan ke sebuah hospital bagi mendapatkan rawatan psikiatri.
Perkara itu turut menjejaskan perkahwinannya dengan Kim Kardashian sehingga mereka bercerai pada 2022. – Agensi