Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kapal angkasa AS cuba mendarat di Bulan

    PUSAT ANGKASA KENNEDY, 15 FEB – Kapal angkasa Amerika Syarikat (AS) yang cuba mendarat di bulan telah berlepas awal pagi tadi (waktu tempatan) dari Pusat Angkasa Kennedy di Florida, sebagai usaha kedua yang diterajui syarikat swasta tahun ini selepas percubaan pertama berakhir dengan kegagalan.

    Intuitive Machines, syarikat Houston yang menerajui misi ‘IM-1’, berharap untuk menjadi entiti bukan kerajaan pertama yang mencapai pendaratan lancar di Bulan dan mendaratkan robot AS pertama di permukaan Bulan sejak misi Apollo lebih lima dekad lalu.

    Pendarat Nova-C berbentuk heksagon yang dinamakan Odysseus telah berlepas di atas roket SpaceX, Falcon 9 sejurus selepas 1 pagi (waktu tempatan).

    IM-1 sepatutnya dilancarkan kelmarin, namun ia ditangguhkan selepas SpaceX menemui suhu yang tidak normal semasa cuba mengisi bahan api pendarat.

    Agensi angkasa lepas NASA mengesahkan pendarat itu berjaya dilepaskan.

    “Disahkan: Pendarat Nova-C telah berpisah dan meneruskan perjalanannya ke Bulan,” tulis NASA di platform media sosial X.

    Pendarat itu mempunyai jenis enjin cecair metana dan oksigen cecair sejuk baharu yang memberikannya kuasa untuk sampai ke destinasinya dengan cepat, mengelakkan pendedahan berpanjangan kepada kawasan radiasi tinggi yang mengelilingi Bumi yang dikenali sebagai Van Allen belt.

    Trent Martin dari Intuitive Machine memberitahu pemberita minggu ini, “peluang untuk mengembalikan AS ke Bulan buat kali pertama sejak 1972 adalah satu kejayaan kejuruteraan yang memerlukan keinginan untuk meneroka,” katanya. – AFP

    SpaceX Falcon 9 ketika berlepas dari landasan pelancaran LC-39A di Pusat Angkasa Kennedy, di Cape Canaveral, Florida. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda