MOSCOW, 26 FEB – Kapsul Soyuz Rusia tanpa kru mendarat di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) awal hari ini dalam misi membawa pulang tiga angkasawan yang terkandas berikutan kerosakan kapsul berpunca daripada hentaman meteor kecil.
Kapal MS-23 dipasang secara autonomi ke makmal penyelidikan ketika mengorbit, dengan video langsung daripada rakan kongsi ISS, Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) menunjukkan kapsul itu melengkapkan perjalanan selama dua hari selepas dilancarkan dari Kazakhstan.
Ia dijangka membawa pulang angkasawan Amerika Syarikat (AS), Frank Rubio dan dua angkasawan Rusia, Dmitry Petelin dan Sergei Prokopyev pada September ini.
Ketiga-tiga mereka tiba di ISS September lalu dengan menaiki kapal angkasa MS-22.
Berdasarkan jadual asal, misi mereka sepatutnya berakhir penghujung Mac iaitu berlangsung selama enam bulan.
Bagaimanapun, kapsul dinaiki mereka berdepan kebocoran cecair penyejuk pada radiator sekitar Disember lalu dan pegawai AS dan Rusia percaya ia berpunca daripada zarah kecil batu angkasa.
Agensi angkasa lepas Rusia, Roscosmos memutuskan untuk menghantar MS-23 bagi menggantikan kapal yang rosak itu, namun tanpa tiga anak kapalnya.
Berikutan tiada kru lain menggantikan mereka, Rubio, Petelin dan Prokopyev kini akan menghabiskan masa hampir setahun di angkasa lepas.
Kapsul MS-22 yang rosak dijangka berlepas dari stesen angkasa tanpa penumpang dan kembali ke bumi pada penghujung Mac. – AFP