ANKARA, 5 MEI – Sebuah kapal bantuan kemanusiaan yang dalam pelayaran ke Gaza kini terkandas di perairan antarabangsa berhampiran Malta selepas disyaki diserang dron pada Jumaat lalu, ketika rundingan masih diteruskan dengan pihak berkuasa Malta bagi membenarkan kapal itu berlabuh.
Kapal ‘Conscience’ yang dikendalikan oleh Freedom Flotilla Coalition, dilaporkan terkena serangan dron pada awal pagi 2 Mei ketika dalam pelayaran dari Tunisia ke Gaza.
Menurut mereka yang berada di atas kapal, letupan menyebabkan kebakaran serta kerosakan serius pada bilik enjin dan badan kapal.
Tiada kecederaan serius dilaporkan membabitkan 16 orang yang berada di atas kapal, termasuk anak kapal, wartawan serta petugas kemanusiaan dari lebih 20 negara.
Dalam temu bual bersama Anadolu Ajansi, Pengerusi Persatuan Kebebasan dan Solidariti Mavi Marmara, Ismail Songur yang turut berada di atas kapal berkata letupan pertama disusuli kebakaran yang berlarutan hampir empat jam.
“Kami melihat sebuah dron terbang di atas, dan tidak lama kemudian berlaku satu lagi letupan,” katanya.
Usaha menghubungi perkhidmatan kecemasan dilaporkan terganggu apabila sistem komunikasi diganggu dan isyarat kecemasan disekat.
Pasukan kecemasan Malta hanya tiba beberapa jam kemudian.
Kapal itu kini berada kira-kira 12 batu nautika dari Malta dan berada di bawah pemantauan kapal pengawal pantai. Ia tidak dibenarkan bergerak selagi kebenaran untuk berlabuh belum diperoleh.
Pihak berkuasa Malta menyatakan kesediaan untuk membantu, namun meminta pemeriksaan terhadap kargo kapal bagi mengesahkan ia hanya membawa bantuan kemanusiaan.
Freedom Flotilla Coalition memaklumkan bukti serpihan daripada serangan itu akan dikemukakan kepada badan perundangan antarabangsa. Terdapat juga dakwaan awal mengenai kehadiran pesawat tentera di kawasan berhampiran sebelum kejadian.
“Ini bukan sahaja satu serangan terhadap sebuah kapal, tetapi juga terhadap misi kemanusiaan.
“Kami merayu kepada kerajaan Malta supaya membenarkan kami berlabuh. Kapal ini tidak mampu meneruskan pelayaran dalam keadaan sekarang,” kata Songur.
Insiden itu mencetuskan kebimbangan antarabangsa, dengan beberapa pertubuhan kemanusiaan menggesa siasatan bebas dijalankan serta perlindungan diberikan kepada misi bantuan yang beroperasi di zon konflik. – Bernama/Anadolu
