Thursday, September 19, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kapal bantuan kedua menuju ke Gaza

    LARNACA, 31 MAC – Kapal kedua, flotila yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza, belayar dari Cyprus semalam, selepas penghantaran terakhir melalui laut tiba lebih dua minggu lalu.

    Hampir 400 tan bantuan sedang dibawa ke Gaza oleh dua badan amal iaitu World Central Kitchen yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) dan Spanish Open Arms dari Sepanyol.

    Flotila tongkang bersama dua kapal itu meninggalkan pelabuhan Larnaca selepas usaha diplomatik oleh Cyprus untuk cuba membuka koridor maritim ke wilayah itu, yang dikepung tentera Israel sejak Oktober tahun lalu.

    Wakil World Central Kitchen, Juan Camilo, dalam rakaman video dari flotila berkata bantuan yang sampai ke Gaza tidak mencukupi dan kami perlu membuka seberapa banyak laluan yang mungkin.

    Camilo berkata penghantaran dari Cyprus mengandungi barangan seperti beras, pasta, tepung, bijirin, sayur-sayuran dalam tin dan protein.

    Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyediakan kargo khas kurma, yang secara tradisinya dimakan ketika berbuka puasa setiap hari sepanjang bulan suci Ramadan, kata badan amal itu.

    Jurucakap kerajaan Cyprus, Konstantinos Letymbiotis berkata flotila mengambil masa kira-kira 65 jam untuk sampai ke Gaza, di mana sebuah dermaga sementara dibina untuk memunggah bantuan kemanusiaan.

    Beliau berkata kapal Jennifer membawa 282 palet bahan makanan berjumlah 237 tan dan sebuah kren beroda yang akan digunakan untuk memunggah bantuan manakala tongkang ARES membawa 109 bungkusan bantuan seberat 95 tan. – AFP

    Sebuah kapal penyelamat Open Arms, membawa bantuan makanan untuk Semenanjung Gaza, bertolak dari pelabuhan Larnaca di Cyprus pada 30 Mac. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda