BEIJING, 7 Jan – Seramai 32 orang kru, terdiri daripada 30 orang warga Iran dan dua warga Bangladesh telah hilang selepas dua buah kapal berlanggar di luar pantai timur China malam semalam, menurut Kementerian Pengangkutan China hari ini.
Kementerian itu berkata pertembungan di antara kapal tangki minyak yang berdaftar di Panama dan kapal pengangkut yang berdaftar di Hong Kong berlaku pada kira-kira jam 8 malam semalam di perairan kira-kira 160 batu laut dari timur muara Sungai Yangtze.
Menurutnya lagi, seramai 32 orang anak kapal, kesemuanya dari kapal tangki minyak yang terbalik selepas pertembungan itu. Manakala, kesemua 21 orang anak kapal dari kapal pengangkut – kesemua mereka warganegara China telah berjaya diselamatkan.
Tambahnya lagi, kapal tangki Sanchi sepanjang 274 meter yang dimiliki oleh syarikat perkapalan Iran dengan membawa muatan 136,000 tan minyak sedang membuat perjalanan dari Iran menuju ke Republik Korea (ROK).
Kapal tersebut mengalami kebakaran selepas pelanggaran dan ia masih terbakar.

Kementerian mengatakan telah berlaku pertumpahan minyak ke laut, namun tidak mendedahkan secara terperinici kawasan yang terlibat dengan pencemaran.
Kapal muatan Cf Crystal sepanjang 225 meter yang membawa muatan 64,000 tan bijirin dan sebahagiannya mengalami kerosakan dimiliki oleh syarikat perkapalan dari China dan sedang membuat perjalanan dari AS ke Guangdong, China.
Pihak berkuasa maritim China telah menghantar sebanyak lapan buah kapal termasuk tiga buah kapal pembersihan khusus, untuk mencari dan menyelamat. Selepas penyelarasan dibuat oleh Pusat Pencarian dan Menyelamat Maritim China, ROK telah menghantar sebuah kapal pengawal pantai dan sebuah pesawat untuk membantu operasi pencarian dan menyelamat. – Xinhua