KUCHING, 25 MAC – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) akan menempatkan kapal jenis Multi Purpose Mission Ship (MPMS) buatan Turkiye bernilai AS$68.8 juta (RM304.29 juta) di perairan Sarawak.
Ketua Pengarah APMM, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata langkah menempatkan aset besar agensi itu di negeri berkenaan mampu memperkukuh keselamatan dan kedaulatan perairan khususnya di Laut China Selatan.
Beliau berkata ia juga memastikan aset yang mencukupi bagi kawasan perairan yang luas selain menyokong operasi pencarian dan penyelamatan.
“Kapal ini mampu memuatkan empat bot laju untuk rondaan dan meningkatkan kemampuan pengawasan serta operasi pencarian dan penyelamatan.
“Fokus kita (APMM) adalah memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan Sarawak, khususnya di Laut China Selatan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Mohd Rosli berkata tiga lokasi di Sarawak juga telah dikenal pasti untuk dibangunkan dengan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) iaitu di Canada Hill di Miri, Bukit Nyabau (Bintulu) dan Tanjung Datu (Kuching) yang dianggar bernilai RM200 juta.
“APMM juga sedang membangunkan zon maritim di Sarikei, kita telah mengenal pasti tanah dan mengemukakan permohonan untuk mendapatkan tanah itu daripada kerajaan negeri.
“Projek lain adalah pembesaran jeti di Muara Tebas supaya kapal baharu Tun Fatimah, dapat ditempatkan di Sarawak. – Bernama
