Wednesday, July 16, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kapal China dikesan dalam perairan ekonomi Jepun

    TOKYO, 9 JUN – Sebuah kumpulan kapal induk China telah memasuki perairan ekonomi Jepun hujung minggu lalu sebelum keluar dan mengadakan latihan melibatkan jet pejuang, kata Kementerian Pertahanan Jepun hari ini.

    Menurut kenyataan kementerian itu, kapal induk Liaoning, bersama dua kapal pemusnah peluru berpandu dan sebuah kapal bekalan tempur pantas, telah belayar kira-kira 300 kilometer di barat daya pulau paling timur Jepun, Minamitori, pada Sabtu.

    Jurucakap kementerian pertahanan memberitahu AFP, perkara itu merupakan kali pertama kapal induk China memasuki kawasan tersebut dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Jepun.

    Kekuatan ketenteraan China yang semakin meningkat dan penggunaannya terhadap aset laut dan udara untuk mendesak tuntutan wilayah yang dipertikaikan telah membimbangkan Amerika Syarikat dan sekutunya di rantau Asia Pasifik.

    Ketua Setiausaha Kabinet Jepun, Yoshimasa Hayashi, berkata hari ini, kerajaan telah “menyampaikan mesej sewajarnya kepada pihak China”, namun tidak menyatakan sama ada bantahan rasmi telah dibuat.

    Gambar fail kapal induk pertama China, Liaoning, belayar ke Hong Kong pada 7 Julai 2017. – AP

    Selepas Liaoning dan kapal pengiringnya keluar dari ZEE Jepun, jet pejuang dan helikopter menjalankan latihan berlepas dan mendarat di atas dek kelmarin, menurut kenyataan itu.

    Jepun telah menghantar kapal perangnya, Haguro, ke kawasan berkenaan untuk memantau situasi.

    Bulan lalu, Liaoning juga dilaporkan berlayar antara dua pulau selatan Jepun dalam ZEE negara itu dari Laut China Timur ke Lautan Pasifik, sambil menjalankan latihan berlepas dan mendarat.

    Pada September tahun lalu, kapal induk itu turut berlayar antara dua pulau Jepun berhampiran Taiwan dan memasuki perairan bersebelahan Jepun, iaitu sebuah kawasan 24 batu nautika dari pantai.

    Ketika itu, Tokyo menyifatkan tindakan itu sebagai ‘tidak boleh diterima’ dan menyuarakan ‘kebimbangan serius’ kepada Beijing.

    Akhir bulan lalu, Tokyo turut menuduh Beijing menjalankan penyelidikan saintifik maritim tanpa notis dalam ZEE Jepun, berhampiran atol terpencil di Pasifik, Okinotori. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda