Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kapal Coral Geographer singgah di Brunei

    Oleh Nurdiyanah R. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Kapal persiaran Coral Geographer telah mengadakan lawatan buat julung kalinya ke negara ini hujung minggu lalu, yang tiba dari Kota Kinabalu dengan keramaian 125 penumpang.

    Lawatan tersebut menandakan kapal persiaran antarabangsa keenam yang berkunjung ke Negara Brunei Darussalam pada 2024.

    Kapal persiaran tersebut berlabuh selama dua hari, membolehkan penumpang meneroka beberapa tempat tarikan pelancong yang terdapat di ini sebelum meneruskan ke Miri, Sarawak.

    Semasa lawatan tersebut, para penumpang turut terlibat dalam pelbagai aktiviti kebudayaan di Rumah Panjang Mendaram, termasuk persembahan tradisional, demonstrasi meniup sumpit, dan menganyam kipas.

    Atur cara mereka juga termasuk lawatan ke bandar, yang menampilkan mercu tanda ikonik seperti Muzium Alat Kebesaran Diraja, Pusat Latihan Kesenian dan Pertukangan Tangan Brunei, Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Istana Nurul Iman dan Kampong Ayer yang bersejarah.

    Penumpang kapal persiaran berkongsi kegembiraan mereka melawat tempat-tempat menarik di negara ini, terutamanya Muzium Alat Kebesaran Diraja, Kampong Ayer dan seni bina Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah yang mengagumkan.

    Mereka juga berpeluang menikmati resepi ayam buluh semasa mengunjungi Rumah Panjang Mendaram Besar, makanan istimewa tempatan yang digemari serta meningkatkan pengalaman budaya mereka.

    Ketibaan berterusan kapal persiaran antarabangsa menggariskan reputasi negara ini semakin meningkat sebagai destinasi pelayaran yang digemari. Pada 2024, Brunei telah mengalu-alukan enam kapal persiaran, yang menempatkan seramai 7,309 pelawat antarabangsa. Dengan enam lagi kapal persiaran dijangka tiba sebelum akhir tahun, bilangan penumpang pelayaran dijangka melepasi angka tahun lepas.

    Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementeriaan Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) amat teruja dengan ketibaan Seven Seas Explorer, yang dijadualkan memasuki perairan Negara Brunei Darussalam pada 28 November nanti.

    Para penumpang kapal persiaran Coral Geographer semasa tiba untuk mengadakan lawatan ke negara ini. – GAMBAR SERAHAN JABATAN KEMAJUAN PELANCONGAN
    Para penumpang kapal turut terlibat dalam pelbagai aktiviti kebudayaan di Rumah Panjang Mendaram semasa lawatan tersebut. – GAMBAR SERAHAN JABATAN KEMAJUAN PELANCONGAN

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda