DUBAI, 7 JULAI – Anak kapal bagi sebuah kapal dagang di Laut Merah terpaksa meninggalkan kapal mereka kelmarin, selepas diserang menggunakan peluru berpandu berkuasa roket dan senjata lain dalam insiden terbaharu yang berlaku di salah satu laluan pelayaran terpenting dunia, menurut pihak pemantau.
Menurut laporan awal United Kingdom Maritime Trade Operations (UKMTO), insiden tersebut berlaku kira-kira 51 batu nautika di barat daya pelabuhan Hodeidah, Yaman dan turut berlaku kebakaran di atas kapal tersebut selepas terkena beberapa peluru yang tidak dikenal pasti.
UKMTO yang dikendalikan oleh Tentera Laut Diraja Britain turut melaporkan, seorang pegawai keselamatan memaklumkan, ‘kesemua anak kapal telah meninggalkan kapal dan sedang menunggu bantuan’. Sebelum itu, UKMTO menyatakan kapal tersebut diserang oleh beberapa buah bot kecil jenis skiff.
“Kapal tersebut telah diserang oleh beberapa bot kecil yang melepaskan tembakan menggunakan senjata ringan dan peluru berpandu berkuasa sendiri. Pasukan keselamatan bersenjata di atas kapal telah membalas tembakan dan situasi masih berterusan,” menurut kenyataan itu. – AFP
