BIZERTE, 15 SEPT – Sebuah flotila menuju Gaza yang membawa bantuan serta aktivis pro-Palestin berlepas hari ini dari Tunisia selepas beberapa kali tertangguh, dengan matlamat mematahkan sekatan Israel dan membuka laluan kemanusiaan ke wilayah Palestin.
“Apabila kerajaan kami gagal untuk bertindak, maka kami tiada pilihan selain mengambil langkah sendiri,” kata aktivis iklim Sweden, Greta Thunberg kepada AFP.
Sekitar 20 bot yang berlayar dari Barcelona berhimpun di Bizerte, dengan kapal terakhir berlepas pada waktu subuh, lapor wartawan AFP.
Kapal-kapal itu dipindahkan ke Bizerte selepas melalui tempoh bergolak di Sidi Bou Said, berhampiran Tunis.
Flotila Global Sumud berkata, dua buah kapal mereka disasarkan serangan dron pada dua malam berturut-turut minggu lalu.
Selepas insiden kedua, pihak berkuasa Tunisia mengecam apa yang mereka sebut sebagai ‘serangan terancang’ dan mengumumkan siasatan.
Ahli Parlimen Eropah, Rima Hassan, yang pernah ditahan seperti Thunberg di atas kapal layar Madleen ketika cuba menuju Gaza pada Jun lalu, berkata beliau bimbang akan berlaku serangan susulan.
Keberangkatan itu telah berulang kali ditangguhkan kerana kebimbangan keselamatan, kelewatan menyediakan beberapa kapal dan faktor cuaca. – AFP


