Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kapal Flotila kini 463 batu nautika dari destinasi

    ISTANBUL, 28 SEPT – Flotila bantuan menuju Gaza kini berada 463 batu nautika dari wilayah yang dikepung Israel, lapor agensi Anadolu, memetik kenyataan penganjur kelmarin.

    Flotila Sumud Global memaklumkan kapal-kapalnya telah menyambung perjalanan selepas berhenti seketika bagi menangani masalah mekanikal dan dijangka tiba dalam tempoh empat hingga tujuh hari.

    “Dalam masa dua hari, flotila akan memasuki zon berisiko tinggi, ketika kewaspadaan dan solidariti global amat diperlukan,” menurut kenyataan penganjur di platform media sosial X.

    Jawatankuasa Antarabangsa untuk Memecahkan Kepungan Gaza kelmarin telah mendedahkan, satu lagi flotila terdiri daripada 10 kapal awam telah belayar dari pelabuhan San Giovanni Li Cuti di bandar Catania, Sicily, membawa kira-kira 70 aktivis dari lebih 20 negara, dengan kerjasama Freedom Flotilla Coalition.

    Peserta termasuk sembilan ahli parlimen terpilih dari Eropah dan Amerika Syarikat.

    Flotila Sumud Global, yang terdiri daripada kira-kira 50 kapal, berlayar awal bulan ini dengan misi memecahkan sekatan Israel dan menghantar bantuan kemanusiaan, khususnya bekalan perubatan ke Semenanjung Gaza.

    Sejak 2 Mac, Israel menutup sepenuhnya lintasan ke Gaza, menghalang konvoi makanan dan bantuan sehingga menyebabkan keadaan kebuluran semakin meruncing.

    Hanya bekalan terhad dibenarkan masuk secara berselang-seli, dan banyak daripadanya dirampas kumpulan bersenjata yang menurut pihak berkuasa Gaza dilindungi Israel. – Bernama

    Antara kapal Flotila Sumud Global yang mengikuti misi bantuan ke Gaza berlabuh di salah sebuah pulau kecil Koufonisi, di Crete, pada 26 September. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda