ISTANBUL, 24 SEPT – Flotila Sumud Global melaporkan kelmarin kapal-kapalnya telah berdepan dengan gangguan berulang di laut termasuk letupan, dron tidak dikenali serta gangguan komunikasi ketika konvoi kemanusiaan itu menuju ke Semenanjung Gaza, lapor agensi Anadolu.
“Kami percaya dron-dron itu bertujuan untuk menakutkan dan berkemungkinan mengumpul maklumat risikan untuk Israel,” kata kumpulan itu dalam satu hantaran di Instagram.
Flotila itu kemudian menyifatkan insiden itu sebagai ‘operasi psikologi’ untuk menakutkan peserta. “Langkah-langkah yang diambil Israel dan sekutunya untuk melanjutkan kebuluran yang mengerikan dan genosid di Gaza amat menjijikkan.
“Tetapi keteguhan kami lebih kuat daripada sebelumnya. Taktik itu tidak akan menghalang misi kami menghantar bantuan ke Gaza dan memecahkan sekatan haram,” kata kumpulan itu menerusi media sosial. – Bernama


