ISTANBUL, 25 JULAI – Komunikasi dengan Kapal Handala, sebuah kapal bantuan kemanusiaan yang dalam pelayaran ke Semenanjung Gaza, berjaya dipulihkan awal tadi selepas terputus selama dua jam ketika beberapa dron dikesan berhampiran kapal itu, menurut Freedom Flotilla Coalition (FFC), lapor agensi Anadolu (AA).
FFC menerusi Telegram memaklumkan bahawa kapal berkenaan meneruskan misi-nya dan kini berada kurang 646 kilometer dari Gaza.
“Komunikasi dengan kapal Handala terganggu selama kira-kira dua jam dan beberapa dron dikesan berhampiran kapal, menimbulkan kebimbangan serius kemungkinan berlaku serangan,” menurut kenyataan itu.
Kumpulan itu turut menyeru para penyokong supaya ‘terus memberi tumpuan kepada Handala dan Palestin serta terus mendesak kerajaan dan media awda agar menamatkan sekatan haram ke atas Gaza’.
Dalam sebuah video yang dimuat naik, aktivis Tan Safi berkata kru kapal tidak mengetahui mengenai gangguan global yang menjejaskan perkhidmatan internet satelit Starlink milik Elon Musk.
“Beberapa pakar sedang menyiasat dan mengatakan ia sesuatu yang luar biasa,” kata Safi.
“Ini bukan kali pertama Elon bekerjasama dengan Israel, namun gangguan kali ini berkemungkinan besar adalah gangguan global.”
Safi menambah bahawa dron masih berada berhampiran kapal, menyebabkan para aktivis terus berwaspada. – Bernama
