LONDON, 4 FEB – Sebuah kapal induk pesawat udara Britain yang telah dijadualkan untuk mengetuai latihan NATO terbesar sejak Perang Dingin tidak akan belayar hari ini selepas menghadapi masalah dengan kipasnya semasa pemeriksaan terakhir, kata Tentera Laut Diraja.
Kapal HMS Queen Elizabeth tidak akan menyertai latihan di luar pantai Artik Norway dan akan digantikan oleh Kapal HMS Prince of Wales.
Kapal induk itu akan digantikan oleh HMS Prince of Wales, yang pernah mengalami masalah yang sama pada Ogos 2022 semasa dalam perjalanan untuk menjalani latihan dengan Amerika Syarikat (AS) dan Kanada di Amerika Utara. Kapal induk itu terpaksa ditarik balik ke pelabuhan dari Isle of Wight dan HMS Queen Elizabeth mengambil tempatnya dalam latihan.
Dengan HMS Queen Elizabeth diketepikan, tentera laut mungkin tidak dapat menghantar sebuah pesawat ke Laut Merah seperti yang dicadangkan oleh Menteri Angkatan Tentera, James Heappey, di mana keadaan semakin tegang dengan pemberontak Houthi yang disokong Iran menyasarkan kapal-kapal kargo di perairan yang menghubungkan Asia dengan Eropah dan AS.
United Kingdom kelmarin telah menyertai AS dalam menyerang 36 sasaran Houthi di Yaman dalam gelombang kedua serangan yang bertujuan untuk melumpuhkan kumpulan yang disokong Iran yang tidak henti-henti menyerang kepentingan Amerika dan antarabangsa. Masalah kipas adalah halangan kedua bagi Tentera Laut Diraja dalam tempoh kurang tiga minggu, berikutan perlanggaran oleh dua kapal perang di sebuah pelabuhan di Bahrain, menyebabkan kerosakan pada kapal tetapi tiada kecederaan.
Pegawai tentera berkata mereka sedang menyiasat punca perlanggaran di mana HMS Chiddingfold kelihatan berundur ke HMS Bangor ketika ia berlabuh. Kedua-dua kapal itu berpangkalan di Timur Tengah untuk membantu melindungi kapal dagang.
HMS Prince of Wales kini akan mengetuai Latihan Steadfast Defender dengan kapal induk penggempur yang terdiri daripada lapan kapal, empat kapal British, serta kapal AS, Sepanyol dan Denmark. – AP