KAHERAH, 29 MAC – Kapal kontena yang menghalang Terusan Suez sejak hampir seminggu lalu mula bergerak hari ini, demikian menurut laman pengesanan lalu lintas maritim, sekali gus meningkatkan harapan laluan perdagangan global yang penting itu dapat segera dikosongkan.
MV Ever Given, yang lebih panjang daripada empat padang bola sepak, tersekat secara menyerong merintangi terusan itu sejak Selasa lalu, menyebabkan rangkaian bekalan dunia tergendala dan menelan kos berbilion terhadap ekonomi global.
Bahagian bawah kapal itu kini sudah menjauh dari tebing barat terusan, berdasarkan laman Vesselfinder dan myshiptracking, fakta yang disahkan oleh sumber AFP di terusan berkenaan.
Pihak Berkuasa Terusan Suez (SCA) tidak memberikan sebarang pengesahan rasmi dan masih belum diketahui bila trafik di sepanjang terusan itu akan bergerak semula.
Bagaimanapun, dalam kenyataan yang dikeluarkan kira-kira jam 5 pagi waktu tempatan, SCA memaklumkan ‘operasi menunda untuk mengapungkan kapal kontena Ever Given sudah dimulakan dengan bantuan 10 kapal tunda gergasi’.
Sebuah syarikat perkhidmatan maritim, Inchcape, memuat naik kenyataan yang kapal itu ‘berjaya diapungkan semula’ dan ‘dalam keadaan selamat’.
Seorang pegawai terusan yang tidak mahu dinamakan, berkata pasukan di lapangan sudah memulakan pemeriksaan teknikal dan yakin motor kapal itu berfungsi. Mereka memberi fokus kepada usaha membuang pasir di sekitar kapal, dengan 27,000 meter padu dibersihkan pada kedalaman 18 meter, kata jurucakap SCA George Safwat, semalam.
Petang semalam, sebuah syarikat perkapalan, agensi Leth, berkata pihak berkuasa Mesir memutuskan lebih banyak kapal tunda diperlukan untuk mengalih kapal itu dan menangguhkan percubaan mengapungkannya semula ketika air pasang pada hari berkenaan. – AFP