OSLO, 22 MEI – Seorang lelaki di Norway terjaga hari ini apabila mendapati sebuah kapal kontena besar telah terkandas beberapa meter dari rumahnya di Trondheimsfjord.
Atas sebab yang belum diketahui, NCL Salten sepanjang 135 meter belayar ke pantai hanya beberapa meter dari rumah Johan Helberg di Trondheimsfjord berhampiran Trondheim di tengah Norway.
Helberg hanya menemui kapal yang tidak dijangka itu apabila jirannya yang panik menekan loceng pintunya berulang kali dan terus berusaha untuk menghubunginya melalui telefon.
“Loceng pintu berbunyi pada hari di mana saya tidak mahu membukanya,” kata Helberg kepada saluran televisyen TV2.
Jirannya, Jostein Jorgensen berkata, dia dikejutkan kira-kira jam 5 pagi dengan bunyi kapal menuju ke darat dengan laju dan segera berlari ke rumah Helberg.
“Saya pasti dia sudah berada di luar, tetapi tidak ada petanda. Saya menekan loceng pintu berkali-kali tetapi tiada respons. Dan apabila saya menelefonnya barulah saya berjaya menghubunginya,” kata Jorgensen kepada TV2.
Beberapa jam kemudian, kapal kontena merah dan hijau besar itu masih terkandas berhampiran rumah kayu itu, menunggu untuk diapungkan semula.
“Ia adalah kapal yang sangat besar tetapi ia akan hilang tidak lama lagi,” kata Helberg.
Tiada seorang pun daripada 16 kru kapal yang cedera dalam kejadian itu, punca kejadian sedang disiasat oleh polis Norway. – AFP
