LA CIOTAT, PERANCIS, 28 MAC – Sebuah kapal layar mewah yang dirampas dalam kes pengubahan wang haram melibatkan seorang warganegara Belarus berjaya dijual pada harga 10 juta euro (AS$11 juta) dalam satu lelongan kelmarin, menurut agensi kerajaan Perancis yang menguruskan aset yang disita.
Kapal sepanjang 41 meter yang dikenali sebagai Stefania itu dilelong di limbungan kapal La Ciotat, sebuah bandar di timur Marseille.
Dibina pada 2021, kapal itu pada asalnya dianggarkan bernilai antara 10 hingga 12 juta euro, tetapi akhirnya berjaya dijual pada harga permulaan 10 juta euro.
Stefania menampilkan reka bentuk dalaman Art Deco dan mampu menampung 10 tetamu serta enam kru. Kapal itu turut dilengkapi dengan kolam renang, jakuzi dan pendiang kayu api.
“Beberapa ciri unik seperti pagar berkaca dan tiang bendera lutsinar tidak pernah digunakan pada kapal layar sebelum ini,” kata De Baecque, firma yang mengendalikan lelongan tersebut.
Kapal layar itu dirampas pada 2023 ketika berlabuh berhampiran Genoa, Itali, atas permintaan pihak berkuasa Perancis.
Pihak berkuasa Perancis menjalankan siasatan terhadap ‘aktiviti jenayah’ yang melibatkan warganegara Belarus dan Ukraine, menurut Pejabat Pendakwa Marseille.
Siasatan tersebut merangkumi dakwaan ‘penyeludupan senjata, pengedaran dadah dan pengubahan wang haram oleh kumpulan jenayah terancang’.
Warganegara Belarus, Chaslau Koniukh, telah dikenal pasti sebagai pemilik kapal layar itu serta sebuah vila mewah di French Riviera. – AFP
