NEW YORK, 11 MAC – Sebuah kapal layar mewah milik jutawan Rusia, Suleiman Kerimov, berkemungkinan akan dilelong selepas seorang hakim di Amerika Syarikat (AS) kelmarin menolak tuntutan pemilikan daripada seorang lagi jutawan Rusia yang bersaing terhadap kapal bernilai AS$300 juta itu.
Kapal sepanjang 106 meter yang dikenali sebagai Amadea telah berlabuh di pelabuhan San Diego, California, sejak ia dirampas oleh pihak berkuasa AS daripada oligarki Rusia yang dikenakan sekatan oleh AS.
Seorang lagi jutawan Rusia, Eduard Khudainatov, bekas ketua syarikat minyak dan gas negara Rusia, Rosneft, didakwa sebagai pemilik sah kapal tersebut dalam satu kes mahkamah di New York. Namun, tuntutannya ditolak oleh Hakim Daerah Dale Ho.
Menurut pihak pendakwa, Khudainatov hanyalah pemilik proksi bagi Amadea, manakala pemilik sebenar ialah Kerimov, sekutu rapat Presiden Rusia Vladimir Putin. Kerimov telah dikenakan sekatan oleh AS pada 2018 dan sekali lagi pada 2022 susulan pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Selepas pencerobohan itu, Jabatan Kehakiman AS di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden memulakan operasi merampas aset oligarki Rusia yang rapat dengan Putin menerusi pasukan khas yang dikenali sebagai Task Force KleptoCapture.
Bagaimanapun, pasukan khas itu dibubarkan selepas Presiden Donald Trump mengambil alih pentadbiran.
Kongres AS meluluskan undang-undang tahun lalu yang membenarkan penjualan aset Rusia yang dirampas, dengan hasilnya disalurkan sebagai bantuan kemanusiaan kepada Ukraine.
Kapal Amadea, yang dilengkapi helipad, kolam renang, jakuzi serta taman musim sejuk di dek, telah dirampas di Fiji pada April 2022 atas permintaan pihak berkuasa AS sebelum dipindahkan ke San Diego. – AFP
