MARSEILLE, 11 JULAI – Sebuah kapal layar mewah sepanjang 41 meter terbakar di St Tropez kelmarin, mencetuskan kebimbangan bahawa ia mungkin akan tenggelam di pelabuhan yang kini dipenuhi golongan kaya dan terkenal sempena musim cuti musim panas.
Pasukan bomba segera mendirikan penghadang anti-pencemaran di sekeliling Sea Lady II, sebuah kapal sewa mewah yang bernilai lebih AS$90,000 seminggu untuk disewa.
Dua jam selepas kebakaran bermula, pihak bomba berkata mereka masih bergelut untuk menaiki kapal tersebut, manakala imej yang tular di media sosial menunjukkan asap
hitam tebal menyelubungi kawasan pelabuhan.
“Beberapa kapal lain yang berada berhampiran dipindah segera dan kami telah memasang penghadang anti-pencemaran,” kata jurucakap bomba kepada AFP, sambil menambah bahawa kapal tersebut ‘kemungkinan besar’ akan tenggelam di pelabuhan.
Dibina pada tahun 1986 dan menjalani pengubahsuaian terakhir pada 2024, kapal layar itu mempunyai lapan anak kapal dan boleh menampung sepuluh penumpang.
Menurut laman web Charterlink, salah satu agensi yang menyewakan kapal itu, setiap lima kabin dilengkapi bilik air peribadi.
Ketika ini, pelabuhan St Tropez dan kawasan berhampiran di Perancis serta Itali sedang dibanjiri kapal layar mewah dari seluruh dunia bagi musim cuti musim panas, dengan nilai ratusan juta dolar kapal dipamerkan di sepanjang pantai Mediterranean. – AFP
