SEPANG, 30 SEPT– Kapal misi Flotila Sumud Global Sumud (GSF) dijangka memasuki zon merah dalam tempoh 28 jam iaitu sekitar 7 petang esok, kata Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim Araby.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) berkata setakat ini, semua kapal GSF disahkan telah memasuki zon kuning tahap dua pada 3 petang hari ini.
“Jarak terkini kapal-kapal berkenaan adalah 227 batu nautika dari pesisiran Gaza. Tiada laporan serangan atau aktiviti dron yang mencurigakan dilaporkan semalam.
“Kelajuan (kapal) dan cuaca sangat baik. Kelajuan kapal paling hadapan adalah 4.9 knot dan mereka berada dalam jangkaan yang baik,” katanya dalam sidang media harian di SNCC MAPIM hari ini.
Susulan perkembangan terbaharu itu, Sany Araby berkata SNCC akan mengaktifkan siaran langsung rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kapal terpilih sebagai langkah keselamatan.

Beliau berkata kemasukan kapal GSF ke zon merah perlu diberi perhatian penuh kerana ia dikategorikan sebagai zon kritikal.
“Ini kami akan kategorikan sebagai zon yang kritikal kerana pada bila-bila masa mereka boleh dipintas dan selalunya mereka dipintas pada waktu malam.
“(Ia) melihat kepada corak yang telah berlaku kepada Madleen, Handala dan Mavi Marmara,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata delegasi Malaysia yang menyertai GSF dilaporkan berada dalam keadaan baik dan sihat sekali gus menyeru semua pihak mendoakan kejayaan misi kali ini. – Bernama

