Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 MEI – Kapal Pelayaran MV Mediterranea yang membawa sermai 2,487 penumpang dan 728 anak kapal yang berlepas dari Singapura telah membuat perhentian di Negara Brunei Darussalam buat kali kedua baru-baru ini.
Dengan berlabuhnya MV Mediterranea ini menunjukkan peningkatan minat daripada pengendali pelayaran untuk memasukkan Brunei sebagai destinasi yang unik dan penuh kenangan. Selepas lawatan ke sini, kapal tersebut akan meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu, Malaysia.
Para penumpang kapal berkenaan telah menikmati pelayaran menyelusuri Kampong Ayer dan terpegun dengan kehidupan penduduk, di samping berpeluang menikmati ketenangan hutan bakau yang subur di negara ini.
Selain itu, mereka turut singgah di beberapa tempat utama termasuk Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dan bergambar di luar Istana Nurul Iman.
Pengunjung juga berpeluang meneroka pelbagai cenderamata yang unik di Pusat Kapal Pelayaran, daripada magnet cenderamata hinggalah kepada kraftangan seperti beg tenun tradisional yang dihasilkan oleh Majlis Perundingan Kampung (MPK) Melilas bagi memberi peluang kepada pengunjung untuk membawa pulang sedikit daripada budaya seni Brunei yang meriah sambil menyokong komuniti tempatan.
Sementara itu, penumpang kapal berkenaan rata-rata memgongsikan pengalaman mereka semasa berada di negara ini melihat tempat masuk termasuk Istana Nurul Iman, menikmati hidangan tradisional ‘Ambuyat’ yang dianggap unik.
Kedatangan semula MV Mediterranea adalah pada 30 April nanti, menandakan satu lagi pencapaian dalam sektor pelancongan pelayaran di negara ini sekali gus menunjukkan reputasi destinasi pelancongan yang berkembang di Asia Tenggara.
Sebagai kapal pelayaran antarabangsa yang ke-10 berlabuh tahun ini, kedatangan semula MV Mediterranea juga mencerminkan daya tarikan yang semakin meningkat terhadap pengalaman kebudayaan unik dan mesra di Brunei.
Untuk seterusnya, Brunei akan menyambut kehadiran Piano Land pada 23 Oktober, sekali gus memperkukuhkan kedudukan dalam jadual perjalanan pelayaran serantau.

Semua di atas: Antara gambar kenangan oleh penumpang dari MV Mediterranea. – Gambar serahan JKP, KSSUP