Saturday, January 4, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kapal Norwegian Spirit tiba di Brunei

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 31 DIS – Negara Brunei Darussalam terus menjadi destinasi pilihan kapal persiaran apabila kapal Norwegian Spirit membuat pelayaran sulung ke Brunei Darussalam dengan berlabuh di Pelabuhan Muara, hari ini.

    Kapal Norwegian Spirit tiba dari Kota Kinabalu dengan membawa 2,092 penumpang dan 906 anak kapal, sebelum meneruskan pelayarannya ke Phu My, Vietnam.

    Lawatan kapal berkenaan merupakan satu lawatan signifikan yang menandakan ketibaan kapal persiaran antarabangsa ke-11 dan terakhir ke Brunei Darussalam bagi 2024, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan negara yang dikenali sebagai destinasi persiaran pilihan baharu.

    Para penumpang kapal telah dialu-alukan dengan persembahan tradisional hadrah yang menawarkan pengalaman kebudayaan yang mesra dan mengasyikkan.

    Semasa lawatan berkenaan, mereka berpeluang meneroka mercu tanda ikonik negara termasuk Istana Nurul Iman, Masjid Omar ‘Ali Saifuddien dan Kampong Ayer, di samping tarikan-tarikan lain.

    Pelancong melihat cenderamata Brunei.
    Gambar ramai pelancong di depan kapal persiaran Norwegian Spirit semasa berlabuh di Pelabuhan Muara kelmarin. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Sementara di Pusat Kapal Persiaran, para pelawat berpeluang menikmati hidangan tempatan, minuman tradisional serta menyaksikan cenderamata asli Brunei, menawarkan pengalaman kekayaan warisan Brunei yang sukar dilupakan.

    Beberapa penumpang merakamkan perasaan kagum mereka mengenai kekayaan budaya, landskap indah serta kemesraan penduduk Brunei, menambahkan lagi profil negara yang semakin berkembang sebagai sebuah destinasi pilihan bagi pelancong-pelancong kapal persiaran.

    Seorang pelancong dari Puerto Rico berkata Brunei merupakan sebuah destinasi yang menggembirakan di mana pengalamannya diperkayakan lagi dengan kehadiran pemandu pelancong yang mesra serta berpengetahuan.

    Manakala itu, Alice dan Patrick dari Hong Kong merakamkan rasa keterujaan mereka melawat Brunei dan berkata lawatan ke Kampong Ayer amat menyeronokkan.

    Mereka juga menyatakan peluang melihat monyet bangkatan dan lawatan mesra ke kediaman penduduk Kampong Ayer untuk menikmati hidangan makanan dan minuman menjadikan pengalaman mereka tidak dapat dilupakan.

    Sepanjang 2024, Brunei Darussalam telah mengalu-alukan 11 buah kapal persiaran, membawa jumlah keseluruhan seramai 17,860 pelawat antarabangsa melalui perjalanan laut iaitu satu prestasi memberangsangkan dibandingkan dengan 2023 iaitu 15,379 ketibaan.

    Memandang ke hadapan, Jabatan Kemajuan Pelancongan menjangkakan 11 buah kapal persiaran berlabuh di Brunei pada 2025, di mana kapal pertama, Norwegian Sky, dijadualkan membuat pelayaran sulungnya pada 13 Januari 2025.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda