Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 23 APRIL – Negara Brunei Darussalam mengalu-alukan ketibaan kapal pelayaran, MS Insignia, sebuah kapal pelayaran mewah yang dikendalikan oleh Oceania Cruises sebagai sebahagian daripada jadual pelayaran Asia Tenggara, di Pelabuhan Muara, baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP), Kementerian Sumber-Sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), di sini, hari ini, ketibaan kapal pelayaran berkenaan menandakan persinggahan terkini dalam pelayaran serantaunya dan kapal pelayaran antarabangsa ketujuh yang mengadakan lawatan ke Negara Brunei Darussalam pada tahun ini.
Kapal MS Insignia yang membawa 548 orang penumpang dan 404 orang anak kapal , tiba di Negara Brunei Darussalam dari Kota Kinabalu, Malaysia dan akan berlepas ke Kota Semarang, Indonesia.
Semasa lawatan singkat berkenaan, para penumpang berpeluang untuk turun dari kapal dan meneroka tarikan yang terdapat di Negara Brunei Darussalam. Mereka mengadakan lawatan ke Masjid Omar ‘Ali Saifuddien yang ikonik, Muzium Alat Kebesaran Diraja dan meyelusuri keindahan Sungai Brunei.
Di samping itu, para penumpang juga berpeluang untuk mendapatkan barangan kraf tangan dan juadah tempatan di Pusat Kapal Pelayaran yang menawarkan mereka sekilas pandang warisan budaya dan kesenian Negara Brunei Darussalam.
Para penumpang mengongsi pengalaman positif semasa lawatan mereka ke Negara Brunei Darussalam dengan Glenys Arnold dari Australia menyatakan lawatannya ke Kampong Ayer dan Muzium Alat Kebesaran Diraja sebagai pengalaman yang menarik.
Sementara itu, pasangan dari Florida, Amerika Syarikat, Michael dan Sarah mengongsikan keterujaan mereka dalam menyaksikan persekitaran dan atmosfera Brunei yang indah dan tenang. Mereka melawat ke beberapa buah mercu tanda utama termasuk Kampong Ayer, Muzium Alat Kebesaran Diraja dan kedua-dua buah masjid ikonik negara. Pasangan berkenaan menyatakan amat kagum dengan keamanan Brunei dan bercadang untuk kembali ke Brunei dalam masa yang terdekat.
Ketibaan MS Insignia mengetengahkan lagi daya tarikan Negara Brunei Darussalam yang bertambah sebagai destinasi pelayaran yang dicari-cari. Semakin ramai operator pelayaran memasukkan Negara Brunei Darussalam dalam jadual pelayaran mereka di mana negara meletakkan dirinya sebagai sebuah destinasi tersendiri dan mesra di Asia Tenggara.
Dengan pelayaran sulung kapal MS Artania pada 24 April nanti, merupakan bukti yang jelas kepada minat yang semakin berkembang, mengetengahkan komitmen Brunei kepada menawarkan pengalaman yang sukar dilupakan dan luar biasa kepada pengembara-pengembara antarabangsa.