BREST, Perancis, 29 April – Kebakaran meletus hari ini di sebuah kapal pelayaran yang membawa ratusan penumpang dari Britain ke Sepanyol, namun kebakaran itu dapat dikawal dan tiada penumpang cedera, kata pihak berkuasa maritim Perancis.
Kapal yang dioperasi oleh Brittany Ferries Perancis membunyikan loceng amaran sekitar 4 pagi apabila api dikesan di salah satu bilik dua enjin ketika ia berada di luar barat laut Perancis.
“Kebakaran itu berjaya dikawal dan tiada yang cedera dalam kalangan 766 penumpang dan 142 kru,” kata pihak berkuasa maritim serantau.
Antara pelancong dalam kapal tersebut adalah dari Britain, Perancis, Sepanyol, Amerika Syarikat, China dan Poland.
MV Pont-Aven berukuran 184 meter panjang boleh membawa kira-kira 2,400 penumpang dan 650 buah kereta merupakan kapal terbesar dalam armada syarikat itu. – AFP