Gambar serahan TLDB
Perolehan Kapal Peluru Berpandu Kelas Waspada pada tahun 1970an mencerminkan perkembangan keupayaan yang sangat signifikan bagi Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) yang memberikan kemampuan untuk meneroka Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) Negara Brunei Darussalam pada masa itu.
Dengan adanya peluru berpandu permukaan ke permukaan Exocet MM38, ianya telah memberikan TLDB keupayaan untuk melaksanakan penembakan melangkaui cakerawala (Over The Horizon Targeting – OTHT).
Pada tahun 1977–1978, TLDB mempunyai tiga kapal kelas Waspada iaitu KDB Waspada, KDB Seteria dan KDB Pejuang yang telah dibina oleh Syarikat Vosper Thornycroft di Tanjung Rhu, Republik Singapura.
Kapal Diraja Brunei (KDB) Waspada (P-02) adalah kapal peluru berpandu pertama yang ditauliahkan pada bulan Jun 1977 diikuti dengan KDB Pejuang (P-03) dan seterusnya, KDB Seteria (P-04) ditauliahkan kemudian pada bulan Jun 1978.
Dilengkapi dengan senjata berkaliber sederhana, Oerlikon 30mm dan peluru berpandu permukaan ke permukaan Exocet MM38, setiap kapal mempunyai kepanjangan 37 meter, kelebaran 7.2 meter dan kedalaman 1.8 meter, di mana berdasarkan saiz kapal berkenaan, ia mampu membuat pelayaran sejauh 1,200 batu nautika dengan kelajuan 14 knot.


Keupayaan kapal untuk beroperasi sepenuhnya terbukti semasa pelaksanaan eksesais pelancaran peluru berpandu yang diberi nama Eksesais RAJAWALI pada tahun 1979.
Salah satu pencapaian kapal kelas Waspada ialah penyertaannya dalam interaksi dua hala dan mengatur kedudukan serantau yang menjadi titik permulaan diplomasi pertahanan TLDB.
Pada tahun 1979, KDB Waspada dan KDB Seteria telah terlibat dalam eksesais dua hala serantau yang pertama iaitu Eksesais PELICAN di antara TLDB dan Tentera Laut Republik Singapura dan pada tahun 1980an, telah dikerahkan di sekitar Pulau Borneo dan seterusnya lawatan muhibah ke Pontianak, Banjarmasin dan Balikpapan di Kalimantan, Indonesia, Manado di Pulau Sulawesi dan Sandakan di Sabah, Malaysia, serta membuat pelayaran ke Hong Kong.
Kapal kelas Waspada telah turut menyertai upacara ARUNG SAMUDERA 95: Sail Indonesia and International Fleet Review di Surabaya, Republik Indonesia pada tahun 1995, International Fleet Review bersempena dengan Sambutan 100 Tahun Penubuhan Tentera Laut Filipina pada tahun 1998 dan Cooperation Afloat Readiness and Training (CARAT) yang dikendalikan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat pada tahun 2004 yang juga merupakan interaksi antarabangsa dua hala TLDB yang pertama.
Aktiviti-aktiviti seumpama ini melambangkan keupayaan TLDB untuk melaksanakan latihan dua hala dan pengaturan kedudukan secara bebas, menimba pengalaman baru dan seterusnya meningkatkan serta memperkasa profesionalisme organisasi melalui hubungan kerjasama dengan angkatan laut serantau.
Ketiga-tiga kapal tersebut terbukti menjadi kebanggaan TLDB dengan berkhidmat secara konsisten dan berterusan kepada negara dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) melebihi tiga dekad dan menggalas tugas melindungi integriti wilayah maritim dan kedaulatan Negara Brunei Darussalam, serta melakukan banyak pelayaran di sekitar rantau ini.
Kapal kelas Waspada telah ditamatkan perkhidmatan dengan penuh penghormatan pada April 2011. Selepas perkhidmatannya bersama TLDB, KDB Waspada dan KDB Pejuang telah diserahkan kepada Tentera Nasional Indonesia – Angkatan Laut (TNI-AL) pada 14 April 2011 dan sekarang dikenali sebagai KRI Salawaku (642) dan KRI Badau (643).
Mengimbas kembali, perolehan Kapal Kelas Waspada menjadi mercu tanda yang signifikan dalam memperluaskan lagi peranan dan tanggungjawab TLDB bermula daripada unit pertahanan persisiran pantai hingga menjadi pasukan maritim yang berkemampuan dan berkeupayaan untuk menggalas tugas di luar batas ZEE.
Kapal kelas Waspada setentunya telah meninggalkan kesan sejarah yang berharga dalam pertahanan Negara Brunei Darussalam.