ROM, 3 MAC – Sebuah kapal perang tentera laut Itali menembak jatuh dron yang menghampirinya di Laut Merah, di mana pemberontak Houthi yang disokong Iran menyerang pengangkutan laut, kata Kementerian Pertahanan.
‘Selaras dengan prinsip pertahanan yang sah, kapal Duilio menembak jatuh dron di Laut Merah’ kelmarin, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.
“Dron itu, yang mempunyai ciri serupa dengan yang telah digunakan dalam serangan sebelumnya, terletak enam kilometer dari kapal Itali dan terbang ke arahnya,” tambahnya.
Golongan Houthi berkata mereka menyerang pengangkutan laut berkaitan Israel sebagai solidariti dengan Gaza yang dilanda peperangan, di mana Israel memerangi pejuang Hamas Palestin dalam sebuah peperangan yang telah menggemparkan wilayah itu sejak meletus pada 7 Oktober.
Pergolakan telah memaksa beberapa syarikat untuk mengalihkan penghantaran di laluan air yang penting secara komersial, meningkatkan masa dan kos penghantaran.
Sekutu utama Israel, Amerika Syarikat telah mengetuai serangan balas terhadap sasaran Houthi di Yaman dalam usaha untuk menghentikan serangan, mewujudkan pasukan antarabangsa untuk melindungi pengangkutan laut.
Itali telah berjanji untuk mengambil alih kuasa tentera laut Kesatuan Eropah (EU) yang berasingan di Laut Merah, tetapi parlimen mesti meluluskan langkah itu terlebih dahulu dan prosedur rasmi telah berjalan perlahan. – AFP