PHNOM PENH, 20 APRIL – Dua kapal perang Jepun telah singgah di pangkalan tentera laut Ream di Kemboja – yang telah dinaik taraf dengan sokongan China kelmarin, menurut Kedutaan Jepun, menjadikan ia kapal pertama yang berlabuh di pangkalan tersebut, yang sebelum ini mencetuskan kebimbangan di Washington.
Amerika Syarikat (AS) sebelum ini menyuarakan kebimbangan bahawa Pangkalan Tentera Laut Ream, yang terletak di luar pantai selatan Kemboja, berpotensi memberikan China kedudukan strategik di Teluk Thailand, berhampiran Laut China Selatan yang masih menjadi pertikaian, dan hampir keseluruhannya dituntut oleh Beijing.
Pegawai tertinggi Kemboja berulang kali menafikan bahawa pangkalan tersebut akan digunakan oleh mana-mana kuasa asing secara eksklusif, selepas laporan media AS pada 2022 mendakwa kemudahan baharu di pangkalan Ream – yang sebahagiannya dibina dengan dana AS – akan dikhaskan untuk tentera laut China.
Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet bersama delegasi dari Tentera Pembebasan Rakyat China merasmikan pangkalan tersebut pada awal bulan ini.
Semasa majlis perasmian, Hun Manet menegaskan bahawa pangkalan itu tidak mempunyai ‘apa-apa untuk disembunyikan.’
Beliau juga menafikan kemudahan baharu tersebut akan digunakan secara eksklusif oleh Beijing, sambil menegaskan kapal dari negara lain turut dialu-alukan untuk berlabuh di sana.
Akses media ke pangkalan itu adalah terhad kelmarin, ketika dua kapal Jepun – Bungo dan Etajima dari Pasukan Pertahanan Diri Maritim Jepun (JMSDF), singgah di pelabuhan itu.
Kemboja telah lama menjadi sekutu paling setia China di Asia Tenggara, dan pengaruh Beijing ke atas Phnom Penh semakin kukuh dalam beberapa tahun kebelakangan ini. – AFP
