KUALA TERENGGANU – Bermain golf lazimnya di padang luas terbentang, namun di Terengganu cabarannya akan bermula dari atas kapal yang berada di sekitar Tasik Kenyir .
Bola golf yang dipukul mungkin jatuh ke dalam lubang di antara salah satu daripada 340 buah pulau kecil di sekitar tasik yang diiktiraf terbesar di Asia Tenggara itu .
Peminat golf terutamanya boleh menikmati kelainan bermain golf ini sekitar Jun 2018 apabilaidea cetusan usahawan anak negeri Terengganu, Mohd Apandi Abdullah menjadi kenyataan.
Dalam wawancara dengan Bernama, Mohd Apandi berkata kapal setinggi empat tingkat yang akan di lancarkan Jun tahun depan itu mampu menjadi tarikan terbaru golongan profesional yang berkunjung ke Tasik Kenyir. Setakat ini kapal yang membabitkan kos RM10 juta dan diberi nama ‘Afiq II’ siap 60 peratus dan setaraf dengan kapal mewah yang beroperasi di luar negara.
Kelengkapan setaraf kapal mewah
Kapal yang mampu memuatkan 60 penumpang bersama dua kapten dan 15 anak kapal itu turut mempunyai 17 buah bilik, ruang mesyuarat, gim, ruang karaoke, ruangmemasak yang luas serta ruang santai ekslusif. Kapal mewah setinggi empat tingkat ini panjangnya 38 meter dan 10.6 meter lebar .
Reka bentuk kapal tersebut adalah cetusan idea Mohd Apandi berdasarkan kapal-kapal yang pernah beliau lihat ketika merantau ke pelbagai negara dan sebagai penambahbaikan kepada kapal miliknya sebelum ini iaitu Pan Dragon Cruise.




Tasik Kenyir bukan asing bagi Mohd Apandi . Beliau menceburi bidang perniagaan ‘rumah bot’ (houseboat) di Tasik Kenyir dengan pelaburan RM1.2 juta kira-kira empat tahun lalu. “Ramai yang mengatakan saya bodoh. Labur dalam air dan jika silap haribulan hanyut dan tengelam tetapi saya bertekad dan yakin ia mampu membawa pulangan dalam jangka masa panjang.
“Tasik Kenyir punya khazanah alam yang hebat dan tidak ternilai. Idea awal untuk berniaga dalam industri ‘houseboat’ ini timbul selepas mengunjungi pelbagai negara dan paling terkesan apabila melihat Air Terjun Victoria di Sungai Zambezi, di sempadan Zambia dan Zimbabwe, Afrika ,” katanya.
Pan Dragon Cruise mempunyai kelengkapan 11 bilik tidur termasuk bilik VIP serta ruang rehat berhawa dingin dan boleh menampung 40 orang dalam satu sesi pelayaran. Hidangan makanan yang disediakan adalah setaraf hotel lima bintang kerana tukang masak dan pekerja yang mempunyai kelulusan serta latihan.
“Saya amat gembira dengan sambutan terhadap Pan Dragon. Kami turut menerima permintaan daripada luar negara termasuk Singapura dan Australia. Daripada hasil kajian saya, pelancong tak mengira jumlah harga pakej sebaliknya menitik beratkan keselesaaan dan servis yang disediakan,” katanya.
Tahun melawat Terengganu
Bersempena dengan program ‘Visit Beautiful Terengganu’, Pan Dragon turut menawarkan harga pakej menarik bagi mereka yang ingin berkunjung serta bermalam di Tasik Kenyir sambil menikmati keindahan Air Terjun Lasir, Air Terjun Sungai Buweh dan Lata Terap.
Malah pengunjung juga akan dibawa ke kawasan tarikan utama iaitu di Santuari Kelah di Sungai Petang yang membolehkan pengunjung melihat kawasan pembiakan ribuan ikan tersebut.
Ketika ditanya apakah resipi kejayaannya, Mohd Apandi yang dianggap antara pengusaha houseboat paling berjaya di Tasik Kenyir, berkata ” Prinsip saya ialah ‘memberi semula apa yang saya terima” dan inilah yang saya lakukan sekarang menyokong usaha kerajaan negeri Terengganu untuk memperkenalkan negeri ini di kalangan para pelancong dengan meneruskan perniagaan saya di Tasik Kenyir.
“Saya tidak mahu mementingkan diri sendiri. Jatuh bangun saya adalah kerana saya sayangkan negeri ini dan sebolehnya mahu ia popular di serata dunia melalui industry pelancongan dan salah satu usaha saya bermula di Tasik Kenyir.
“Saya mahu mencipta kelainan dan Tasik Kenyir mempunyai keunikkan yang mampu membawa impian saya menjadi kenyataan. Semoga usaha untuk menghasilkan ‘Afiq II’ ini membawa kebaikan kepada kerajaan negeri dan industri pelancongan negara hingga persada antarabansa,” tambah Mohd Apandi. – Bernama