Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kapal persiaran Piano Land ke Brunei buat pertama kali

    Oleh Sim Y. H. 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 OKT – Negara Brunei Darussalam mengalu-alukan dengan mesra pelayaran sulung kapal persiaran, Piano Land yang berlabuh di Pelabuhan Muara baru-baru ini.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan (JKP), di sini, pelayaran itu menandakan satu lagi mercu tanda dalam sektor pelancongan pelayaran negara yang berkembang.

    Kapal berkenaan tiba dari Sabah, Malaysia dengan membawa seramai 1,089 orang penumpang dan 530 orang anak kapak yang amat teruja untuk meneroka keindahan, tarikan dan ketenangan negara sebelum meneruskan pelayaran ke Singapura.

    Ketika penumpang turun di Pusat Kapal Persiaran, Pelabuhan Muara, mereka disambut dengan persembahan pukulan hadrah bersama jualan tempatan yang mempamerkan cenderamata unik Brunei, termasuk kraf tenunan, barangan buatan tangan dan juadah tempatan yang diinspirasikan daripada budaya tempatan di kawasan ketibaan pusat berkenaan.

    Lawatan berkenaan menawarkan penumpang untuk mengenali budaya kehidupan dan keindahan alam semula jadi Brunei. Para pelawat berkesempatan meneroka Kampong Ayer dan menyusuri hutan paya bakau yang tenang untuk melihat monyet ‘proboscis’.

    Lawatan mereka juga meliputi kunjungan ke Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, yang merupakan salah satu mercu tanda Islam yang paling menakjubkan di rantau ini dan mengambil kesempatan bergambar di luar Istana Nurul Iman.

    Salah seorang penumpang dari Guangdong, Republik Rakyat China, Deng Yanmei, yang pertama kali melawat Brunei menyifatkan pengalamannya sebagai menakjubkan dan tidak dapat dilupakan, memuji kebersihan negara, suasana yang tenang serta keramahan masyarakat Brunei.

    Penumpang lain turut berkongsi pandangan yang sama, menggambarkan Brunei sebagai sebuah destinasi yang damai, selamat dan terpelihara dengan indah serta layanan mesra dan daya tarikan budaya asli yang menjadikan lawatan mereka benar-benar berharga.

    Kejayaan persinggahan sulung Piano Land, menandakan kapal persiaran ke-11 yang berlabuh di Brunei pada tahun ini, menggariskan reputasi negara yang semakin meningkat sebagai destinasi pelayaran yang baharu muncul di Asia Tenggara.

    GAMBAR-GAMBAR SERAHAN JKP, KSSUP

    Setiap ketibaan bukan sahaja mempromosi tawaran pelancongan unik negara tetapi juga mewujudkan peluang berharga untuk perniagaan, pengendali pelancongan dan pertukangan tempatan.

    Negara Brunei Darussalam bersedia untuk mengalu-alukan ketibaan semula kapal Blue Dream Melody pada 6 November nanti, sebagai kesinambungan usaha negara dalam mengukuhkan kedudukannya dalam rangkaian pelancongan kapal persiaran serantau.

    Penumpang kapal persiaran Piano Land mengambil peluang bergambar di salah satu tempat menarik di negara ini. – GAMBAR SERAHAN JKP, KSSUP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda