Saturday, February 22, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kapal, pesawat China masih beroperasi di sekitar Taiwan

    TAIPEI, 11 APRIL – Kapal perang dan pesawat China masih beroperasi di sekitar Taiwan hari ini, kata kementerian pertahanan pulau itu, sehari selepas Beijing mengisytiharkan penamatan latihan ketenteraan besar-besarannya.

    China melancarkan tiga hari latihan ketenteraan di sekitar Taiwan pada hari Sabtu yang menyaksikan ia mensimulasikan serangan yang disasarkan dan mengamalkan sekatan ke atas pulau itu.

    Pertunjukan kekerasan dari Beijing, yang mendakwa pulau itu sebagai sebahagian daripada wilayahnya, adalah tindak balas kepada pertemuan Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen dengan Speaker Dewan Rakyat Amerika Syarikat (AS), Kevin McCarthy minggu lalu, pertemuan yang diberi amaran akan mencetuskan tindakan balas.

    Kementerian pertahanan Taiwan berkata ia telah mengesan sembilan kapal perang China dan 26 pesawat di sekitar pulau itu setakat 11 pagi (0300 GMT) hari ini.

    China “mengatur pesawat tentera pagi ini dan melintasi garis median dari utara, tengah, dan selatan”, kata kementerian itu, merujuk kepada sempadan tidak rasmi sepanjang Selat Taiwan.

    Pada Isnin, hari terakhir latihan itu, kementerian berkata ia telah mengesan 12 kapal perang China dan 91 pesawat di sekitar pulau itu, dengan 54 pesawat menyeberang ke zon pengecaman pertahanan udara (ADIZ) di barat daya dan tenggara Taiwan.

    Pencerobohan tersebut adalah yang tertinggi direkodkan dalam satu hari sejak Oktober 2021.

    Tsai mengecam latihan ketenteraan tersebut, beberapa jam selepas ia ditamatkan secara rasmi, berkata China menggunakan penglibatan Taiwan dengan Amerika Syarikat sebagai “alasan untuk melancarkan latihan ketenteraan, menyebabkan ketidakstabilan di Taiwan dan rantau ini”.

    “Walaupun latihan ketenteraan China telah sampai ke penghujungnya, pasukan tentera dan keselamatan negara kita akan terus berada pada posisi mereka dan mempertahankan negara,” kata Tsai. – AFP

    Dalam foto yang dikeluarkan oleh Xinhua, sebuah jet pejuang China, J-15 berlepas dari kapal pengangkut pesawat, Shandong semasa latihan ketenteraan, baru-baru ini. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda