Kapal Rusia dijangkiti COVID-19 di Busan

BUSAN, 11 OGOS – Lebih ramai kelasi kapal Rusia yang berlabuh di bandar pelabuhan di selatan Busan disahkan dijangkiti COVID-19, kata pihak berkuasa kesihatan pada Selasa.

Empat kelasi Indonesia dari kapal penangkap ikan itu disahkan positif COVID-19, lapor agensi berita Yonhap.

Pihak berkuasa kesihatan percaya mereka mungkin dijangkiti virus itu melalui kapten kapal, yang disahkan positif pada minggu lalu. Sehingga kini, lapan kes dikesan di kapal berkenaan.

Sejak Jun, pihak berkuasa kesihatan sudah mengesan lebih 90 kes virus di kapal Rusia yang berlabuh di Busan.

Sejak 3 Ogos, Korea Selatan mewajibkan kru kapal Rusia untuk menyerahkan sijil yang menunjukkan mereka negatif COVID-19, sebaik tiba di Korea Selatan.

Sijil mesti dikeluarkan dalam tempoh 48 jam sebelum berlepas.

Pihak berkuasa kesihatan juga telah melakukan pemeriksaan kuarantin di kapal Rusia yang tiba di pelabuhan Busan, sejak akhir Jun. – Bernama