JAKARTA, 25 APRIL – Panglima Tentera Indonesia (TNI) Hadi Tjahjanto hari ini mengumumkan semua kru kapal selam KRI Nanggala-402 telah terkorban.
“Seramai 53 kakitangan dalam KRI Nanggala-402 telah gugur, berdasarkan bukti-bukti ‘autentik’ itu, dapat dinyatakan bahawa KRI Nanggala-402 telah tenggelam,” katanya dalam sidang akhbar yang disiarkan secara langsung menerusi siaran televisyen tempatan.
Menurutnya berdasarkan visual dari ‘Remotely Operated Underwater Vehicle’ yang digunakan dalam pencarian kapal itu, telah terakam keadaan kapal berkenaan yang telah ‘terbelah menjadi tiga bahagian’ di kedalaman 838 meter di dasar laut di perairan Bali. KRI Nanggala 402 dilaporkan terputus hubungan pada pukul 4:25 pagi Rabu lalu ketika dalam misi latihan penembakan torpedo, yang turut disertai 21 kapal TNI yang lain bersama lima pesawat tempur serta satu lagi kapal selam yang lain.
Terdahulu, misi pencarian kapal selam bersama 53 kelasi yang hilang di perairan Bali, bertukar kepada usaha mengeluarkan aset itu selepas serpihan yang ditemui menggambarkan ia mungkin berdepan masalah ketika tenggelam ke dasar laut. Kapal perang, pesawat dan ratusan anggota tentera dikerah dalam misi mencari KRI Nanggala 402 sejak ia dilaporkan hilang minggu ini ketika menjalani latihan ketenteraan, dengan harapan ia dapat ditemui sebelum kehabisan bekalan oksigen.
Namun, semalam, tentera laut memaklumkan serpihan daripada kapal selam itu, termasuk barangan daripada dalam aset berkenaan ditemukan, lalu mengesahkan ia tenggelam dan mengakhiri harapan menemui individu yang terselamat.
Antara barangan ditemui termasuklah serpihan sistem torpedo, sebotol minyak pelincir periskop serta sejadah yang digunakan untuk solat.– Bernama/AFP
